Oleh Nurdiyanah R.
Gambar serahan Kilang ReRoot dan Green Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 APRIL – Dua belia tempatan, Hajah Siti Norfarwizah binti Haji Mohd Ja’afar dari Kilang ReRoot; dan Awang Muhammad Hazmie bin Haji Piut dari Green Brunei mewakili negara dalam program Persidangan Belia Kesatuan Eropah (EU)-ASEAN yang berlangsung selama dua hari di Bangkok Thailand, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, dalam persidangan yang menumpukan kepada ‘Pembangunan Bandar Mampan’ itu, wakil negara berkongsi pengalaman mereka dalam menganjurkan projek-projek yang mampan dari segi alam sekitar dengan perwakilan belia EU-ASEAN lain.
Hari pertama program telah dimulai dengan sesi perkongsian di mana wakil belia ASEAN dan EU membincangkan organisasi masing-masing, diikuti dengan perbincangan panel mengenai menyerlahkan potensi golongan muda dalam mempromosikan pembangunan bandar yang mampan pada sebelah petang.
Semasa sesi itu, para wakil belia juga berinteraksi dengan penggubal dasar dan pengamal untuk meneroka bagaimana golongan muda boleh memainkan peranan penting dalam mempromosikan kelestarian pembangunan bandar.
Di samping itu, pengasas Kilang ReRoot, Hajah Siti Norfarwizah turut berkesempatan berkongsi mengenai projek terkini dinamakan The Balkony Project semasa sesi perkongsian tersebut.
Ia merupakan program lapan bulan bermula Mac lalu dengan seramai 34 peserta mendaftar untuk menyertai kelas induk berkebun yang begitu menarik. Ini termasuk bengkel seperti pertukangan kayu, lawatan ladang, ceramah daripada pakar tempatan dalam industri, masakan dari ladang ke meja dan banyak lagi.
Projek berkenaan diharap mampu memaksimumkan ruang rumah untuk taman yang boleh dimakan bagi mengekalkan kehidupan dengan keselesaan rumah, dan dalam bandar.
Manakala itu, sesi pagi hari kedua menyaksikan pembentangan tentang pelbagai cara belia-belia boleh menyumbang kepada penyelesaian dengan menyokong perubahan, membangunkan penyelesaian yang inovatif dan bekerjasama dengan kumpulan komuniti.
Menerusi sesi itu, mereka berkongsi contoh kejayaan inisiatif yang diterajui oleh golongan belia di kawasan bandar.
Manakala pada sebelah petang pula, wakil belia ASEAN mengadakan perbincangan dalam kumpulan untuk merancang projek empat bulan berkisar pembangunan bandar yang mampan.
Berdasarkan hasil perbincangan kumpulan yang disertai oleh Awang Muhammad Hazmie, mereka membuat projek mencipta toolkit yang akan merangkumi How-To iaitu cara untuk menjalani kehidupan yang mampan di bandar, yang boleh dilaksanakan.