BELGIUM, 22 JAN – Kesatuan Eropah (EU) kelmarin mengumumkan pakej sokongan sebanyak AS$62 juta untuk angkatan tentera Lebanon, ketika negara yang dilanda krisis itu berusaha melaksanakan gencatan senjata antara Israel dan pejuang Hizbollah.
Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas berkata bantuan tersebut datang ‘pada saat penting untuk pelaksanaan perjanjian gencatan senjata antara Lebanon dan Israel.’
Angkatan tentera Lebanon ‘adalah pen-ting untuk kestabilan serantau dan domestik, dan mereka layak menerima segala soko-ngan kami dalam melaksanakan misi kritikal mereka,’ katanya.
Di bawah perjanjian gencatan senjata, Beirut menyatakan Israel mesti berundur dari selatan negara itu sebelum 26 Januari, dengan tentera Lebanon dijadualkan untuk dikerahkan bersama pasukan pengaman Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Pada masa yang sama, pejuang Hizbollah dikehendaki merobohkan sebarang infrastruktur ketenteraan yang masih ada di selatan dan menarik balik pasukannya dari utara Sungai Litani, kira-kira 30 kilometer dari sempadan.
Bantuan EU itu adalah yang terkini daripada negara Barat bertujuan memperkukuhkan angkatan tentera Lebanon, dengan Amerika Syarikat minggu lalu mengumumkan sumbangan lebih daripada AS$117 juta dalam bentuk bantuan keselamatan.
Semasa lawatan ke Beirut pada Jumaat, Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata bahawa Paris akan menganjurkan persidangan bantuan tidak lama lagi untuk membantu membangunkan semula Lebanon selepas perang Israel-pejuang Hizbollah. – AFP