Thursday, September 19, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    FABD teroka peluang majukan bola sepak negara

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MEI – Presiden Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD), Feisal Eusoff bersama Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John telah mengadakan perbincangan dan meneroka peluang yang boleh dimanfaatkan bagi memajukan bola sepak di Negara Brunei Darussalam.

    Feisal Eusoff menjelaskan perkembangan dan pencapaian FABD sejak menarajui persatuan berkenaan kira-kira lebih empat bulan yang lalu semasa perjumpaan yang berlangsung di Hotel Bangkok Marriott Marquis Queen’s Park, Bangkok, Thailand baru-baru ini.

    Presiden FABD juga menjelaskan mengenai perancangan yang telah disusun bagi kejohanan Liga Bola Sepak Brunei yang dianjurkan oleh FABD dan berkongsi maklumat mengenai status FABD.

    Sementara itu, perbincangan bagi ke-perluan FABD dalam memajukan infrastuktur juga mendapat perhatian Pengarah Persatuan-persatuan Ahli FIFA bagi Asia dan Oceania, Sanjeevan Balasingam dengan perjum-paan diadakan di Hotel Bangkok Marriott Marquis Queen’s Park.

    Perjumpaan itu juga menyentuh mengenai kepentingan dan keperluan dana FABD yang diperuntukkan oleh FIFA bagi prasarana FABD, pembangunan bola sepak di samping pentadbiran FABD.

    Manakala itu, dalam perjumpaan yang berasingan di Hotel Anantara Siam Bangkok, Presiden FABD telah mengadakan perjumpaan dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Brazil, Ednaldo Radrigues Gomes.

    Kedua-duanya telah bertukar-tukar pandangan bagi merapatkan hubungan dan seterusnya menyentuh pelbagai aspek yang penting terutama di peringkat ketua jurulatih bola sepak dan futsal bagi belia dan akar umbi.

    Perjumpaan tersebut juga disertai oleh Timbalan Presiden FABD, Haji Mahrub bin Haji Murni; Pemangku Setiausaha Agung FABD, Matali bin Haji Tahir dan ahli Jawatankuasa Eksekutif FABD, Pengiran Haji Jufry bin Pengiran Haji Haji Jeluddin.

    Feisal Eusoff mengadakan perjumpaan dengan Ednaldo Radrigues Gomes. – GAMBAR SERAHAN FABD
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda