Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Fahami ujian sakit!

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Siri Pertama

    Ni‘mat kesihatan dan kelapangan adalah dua perkara yang seringkali dilupakan dan diabaikan, kecuali apabila telah datang waktu sakit dan waktu sibuk.

    Perkara ini telah disebut oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sebuah hadits riwayat Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma yang maksudnya:

    Ada dua (jenis) ni‘mat yang kebanyakan orang terlalai olehnya, iaitu kesihatan dan waktu lapang (senggang). – (Hadits riwayat al-Bukhari)

    Sepatutnya manusia apabila memperolehi ni‘mat kesihatan dan kesenangan duniawi (kelapangan) akan merasa syukur dan puas, kerana merasakan sebahagian daripada keperluannya sudah mencukupi.

    Ini dikuatkan oleh hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Abu ad-Darda’ Radhiallahu ‘anhu yang maksudnya:

    Sesiapa (di antara kamu) pada waktu pagi (berada) dalam keadaan sihat tubuh badannya dan aman jiwanya, mempunyai makanan pada hari itu, maka seolah-olah bagaikan dunia telah menjadi milik baginya. – (Hadits riwayat Ibnu Hibban)

    Namun apabila terjadi sebaliknya, seperti ditimpa penyakit atau disempitkan rezeki, apakah cara dan langkah terbaik untuk memahami ujian ini sekaligus menghadapinya?

    Maka dalam ruangan kali ini penjelasan akan ditumpukan kepada ujian yang berbentuk ditimpa kesakitan dan penyakit jasmani.

    Sakit dan jenisnya

    Sesiapa jua, tanpa pengecualian, pernah sakit dan pasti suatu waktu akan meng-hadapi sakit.

    Sama ada seseorang itu menderita sesuatu penyakit akibat sebab-sebab tertentu ataupun ditimpa sakit secara mengejut atau tiba-tiba sahaja tanpa sebab yang jelas.

    Manakala orang-orang yang tidak pernah menghadapi sakit adalah suatu perkara luar biasa.

    Tahap atau jenis penyakit itu juga berperingkat-peringkat, sebahagiannya menghidap penyakit yang ringan saja dan sebahagiannya pula menghidap penyakit yang serius.

    Manakala proses kesembuhan juga berbeza, sesetengah pesakit ada kalanya sembuh dengan cepat, ada pula yang lambat atau tidak sembuh langsung.

    Terdapat ayat-ayat dalam al-Qur’an yang menyebutkan mengenai sakit dan penyakit, antaranya firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya:

    Maka sesiapa di antara kamu sakit, atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu dia mencukur rambutnya), hendaklah dia membayar fidyah iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih Dam. – (Surah al-Baqarah: 196)

    FirmanNya lagi yang tafsirnya:

    Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba Kami: Nabi Ayyub, ketika dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku diganggu oleh Syaitan dengan (hasutannya dan semasa aku ditimpa) kesusahan dan azab seksa (penyakit).”

    (Maka Kami kabulkan permohonannya serta Kami perintahkan kepadanya): “Hentakkanlah (bumi) dengan kakimu”, (setelah dia melakukannya maka terpancarlah air, lalu Kami berfirman kepadanya): “Ini ialah air sejuk untuk mandi dan untuk minum (bagi menyembuhkan penyakitmu zahir dan batin).” – (Surah Shaad: 41-42)

    FirmanNya lagi yang tafsirnya:

    Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka. – (Surah al-Baqarah: 10)

    Maka berdasarkan ayat-ayat di atas, antara jenis penyakit itu adalah penyakit jasmani dan rohani.

    Adapun penyakit jasmani (zahir) ialah penyakit yang dihidapi oleh manusia pada tubuh badannya seperti demam, sakit kepala, sakit perut dan sebagainya. Manakala penyakit rohani (batin) ialah penyakit dalaman yang berkaitan dengan roh atau jiwa seperti penyakit hati yang membawa kepada maksiat seperti hasad dengki, cemburu, tamak dan lain-lain.

    Di samping itu, seseorang itu juga tidak terkecuali daripada mengalami perasaan duka nestapa, dukacita, gundah-gulana, kesedihan, waswas dan lain-lain yang berkaitan dengan perasaan.

    Sakit merupakan salah satu bentuk ujian

    Sesetengah individu mungkin menyempitkan skop ujian dan dugaan itu sebagai perkara-perkara yang negatif dan yang menyedihkan sahaja.

    Lalu dia hanya mengkategorikan ujian itu seperti ditimpa penyakit, kesusahan, kesedihan, kemiskinan, kematian, kemalangan, kesempitan, kegagalan dan seumpamanya.

    Sebenarnya tidak demikian. Ujian itu meliputi semua aspek kehidupan sama ada sesuatu yang baik atau sebaliknya seperti kesihatan atau kesakitan, kebaikan atau keburukan, kegembiraan atau kesedihan, kejayaan atau kegagalan, kemiskinan atau kekayaan.

    Allah Ta‘ala dalam firmanNya telah menyatakan bahawa ujian, cubaan dan dugaan itu datang dalam pelbagai bentuk sebagaimana tafsirnya:

    Dan kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan. – (Surah al-Anbiya’: 35)

    FirmanNya lagi yang tafsirnya:

    Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. – (Surah al-Baqarah:155)

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...