Bukan sekadar hiburan, penyanyi dan komposer Faizal Tahir berharap album terbaharunya, Jati Diri menjadi inspirasi buat masyarakat dalam mengingati tentang budaya dan identiti sendiri.
Melihat situasi kini di mana orang ramai semakin lupa akan asal usul mereka, Faizal atau Ahmad Faizal Mohamad Tahir, 47, percaya karya-karya ciptaannya kali ini mampu menyuntik semangat dan mengembalikan nostalgia.
Lebih menarik lagi, pelancaran album ini dilakukan dalam satu acara unik dia mana dia sendiri menganjurkan majlis kenduri yang menggambarkan kepentingan nilai perpaduan dalam kalangan masyarakat.
“Konsep kenduri menggambarkan bahawa perkara baik wajar dikongsi bersama. Apabila berkumpul untuk sesuatu positif, kita bukan sahaja memperoleh keberkatan tetapi memperkukuhkan semangat kasih sayang antara satu sama lain.
“Inspirasi utama saya adalah melihat betapa banyak jati diri yang semakin hilang.
“Saya mahu mengingatkan semua bahawa penting untuk kita memahami dan menghargai asal usul, budaya dan agama agar kita tidak kehilangan arah,” katanya.
Dalam album kali ini, Faizal juga bekerjasama dengan produser muda iaitu Glowrush dan mereka sepakat untuk bergerak secara duo atas nama Let Zapin.
Bukan itu sahaja, Faizal turut menampilan dua nama hebat dalam industri seni iaitu Datuk M Nasir dan Altimet sebagai penyanyi undangan.
Bercakap tentang proses pembikinan album itu, cabaran paling utama adalah untuk memastikan setiap mesej dapat disampaikan dengan baik sejajar dengan visi asalnya.
Sebagai menyemarakkan lagi pelancaran album ini, Faizal mempertaruhkan lagu berjudul Orang Kampung sebagai meraikan keunikan serta nilai-nilai kehidupan di desa.
“Saya berusaha menyampaikan mesej melalui muzik yang kreatif dan kontemporari tanpa mengorbankan nilai tradisional.
“Album ini menggabungkan elemen muzik tradisional dengan sentuhan moden agar kekal relevan di hati peminat muda,” ujarnya.
Album Jati Diri boleh didengari di semua platform penstriman digital bermula 7 Februari. – Agensi