Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    ‘Faktor fizikal bukan alasan menyerah kalah’

    TAWAU, 28 FEB – Berpegang kepada prinsip tidak menyerah kalah sebelum berjuang menjadi kunci kejayaan kepada Nurelfira Umaira Mohd Yusof atau Fira, yang mencipta sensasi memenangi pingat emas acara 80 meter lari berpagar perempuan bawah 14 tahun pada Kejohanan Trek dan Padang WA State 2024 di Perth, Australia baru-baru ini.

    Nurelfira Umaira, 13, yang bertubuh kecil dan berketinggian 151 sentimeter berkata meskipun melihat saiz fizikal lawan lebih tinggi dan besar dalam saingan itu dengan pelari tertinggi lebih 180 sentimeter, itu bukan penyebab untuk dia berasa gentar malah lebih bersemangat dan yakin untuk membawa pulang pingat.

    “Saya sasar emas, saya berlatih bersungguh-sungguh untuk dapatkan emas. Semasa melihat lawan saya tetap yakin menang kerana telah berlatih lama sejak darjah empat (10 tahun). Saya yakin menang walaupun saya paling pendek dan kecil,” katanya ketika ditemui pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Tawau di sini malam tadi.

    Murid Sekolah Kebangsaan Pasir Putih, Tawau itu berkata cabaran lain yang dihadapi ialah menyesuaikan cara larian dalam tempoh singkat sebaik mengetahui terdapat perbezaan jumlah pagar digunakan pada acara 80 meter lari berpagar.

    Nurelfira Umaira berkata ini kerana kebiasaan di Malaysia acara itu menggunakan halangan lapan pagar, bagaimanapun di Australia sembilan pagar digunakan menjadikan jarak setiap pagar berkenaan lebih dekat.

    Fira tiba di Lapangan Terbang Tawau bersama jurulatih, Karim Batjo, baru-baru ini. – Bernama

    “Susah sikit lapan pagar ke sembilan pagar, jadi sebelum acara akhir dimulakan saya panaskan badan lagi dan cuba pagar, syukur berjaya dengan masa 13.10 saat untuk emas,” katanya menambah 80 meter lari berpagar merupakan acara kegemarannya dan catatan masa peribadi terbaiknya ialah 11.98 saat.

    Dia yang turut meraih pingat perak 200 meter lari berpagar perempuan bawah 14 tahun dalam kejohanan sama akan kembali menjalani latihan sebagai persiapan menyertai Little Athletics Championships yang dijadual berlangsung di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Julai ini.

    Nurelfira Umaira berkata gurunya, Karim Batjo merupakan pencetus kepada minatnya untuk menyertai acara sukan lari berpagar ketika di Tahun Empat.

    “Sasaran saya untuk mewakili Malaysia pada kejohanan lebih besar seperti Sukan SEA,” katanya yang turut menjadikan pelari Malaysia di Sukan SEA lepas, Farah Syakira Azifsafarin, 15, sebagai sumber inspirasi.

    Sementara itu, Karim berkata meskipun fizikal Nurelfira Umaira kecil, namun dia seorang yang berani dan tenang selain mudah menyesuaikan diri dengan perubahan, buktinya ketika mengetahui jumlah halangan pagar bagi acara lari berpagar 80 meter di Australia berbeza dengan Malaysia.

    “Setengah jam sebelum acara saringan bermula kami terpaksa ubah strategi untuk dia berlari. Alhamdulillah dia jenis yang tenang, dia dapat ikut rentak macam mana untuk lari laju dengan sembilan pagar, saya juga cakap dengan dia kita sudah sampai sini (Australia) mesti bawa balik pingat,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...