Sudah tertulis mahligai yang dibina atas dasar cinta kira-kira 11 tahun lalu, akhirnya ranap di pertengahan jalan selepas pasangan selebriti, Farid Kamil dan bekas isteri, Diana Danielle, bercerai talak satu pada 10 Ogos lalu.
Biarpun istilah cerai tidak pernah terlintas dalam fikiran jejaka ini, namun, itulah hakikat yang harus diterima Farid yang juga pelakon dan pengarah sensasi.
Pernah melalui fasa bahagia dalam kehidupan ketika ditemani isteri dan anak tercinta, Farid atau nama penuh, Farid Kamil Zahari, 42, mengaku situasi yang dilaluinya sekarang bukanlah sesuatu yang mudah untuk dihadapi.
Namun, sesukar manapun ujian yang bakal dihadapi atau jika ada rasa sayang yang masih bersisa dalam hati, tegas Farid, adalah mustahil untuk mereka rujuk semula.
“Saya tidak tahu apa perancangan Allah kerana jodoh, ajal dan maut semua Allah tentukan.
“Saya jalani dengan penuh lapang dada. Tiada sebarang harapan kerana buat masa ini, saya tidak ada rasa hendak rujuk kembali,” katanya ditanya kemungkinan dirinya dan
Diana kembali bersama sementelah masih dalam tempoh idah.
Percaya dengan qada dan qadar, pelakon filem Anwar: The Untold Story ini juga tidak sesekali menyalahkan takdir atas musibah menimpa dirinya.
Sebaliknya, Farid akan cuba menyesuaikan diri dengan kehidupan baharunya.
“Sebelum ini, saya pernah hidup sendiri (bujang), berkahwin dan kemudian kembali bersendiri (cerai). Apabila kembali hidup bersendiri, ini pengalaman baharu buat saya. Allah sudah tentukan perjalanan hidup dan saya kena hadapi dengan tenang.” – Agensi