Pelakon terkenal Hollywood, Colin Farrell, membuat keputusan berat untuk menempatkan anak lelakinya, James, 21, yang menghidap sindrom Angelman, di sebuah pusat jagaan jangka panjang.
Menurut laporan Media Hiburan memetik The Independent, pelakon filem The Banshees of Inisherin itu berkongsi kisahnya bersama majalah Candis, dengan menyatakan kebimbangan tentang masa depan anaknya sekiranya beliau dan bekas pasangannya, Kim Bordenave, ditimpa musibah.
“Bagaimana jika saya terkena serangan jantung dan ibu James pula terlibat kemalangan? Siapa akan jaga James?” ujarnya.
Farrell, 48, berkata jika perkara tersebut berlaku tanpa sebarang perancangan rapi, anaknya berisiko menjadi tanggungan negara dan akan ditempatkan di lokasi yang mereka sendiri tidak boleh tentukan.
Atas sebab itu, beliau dan Kim kini sedang mencari sebuah pusat penjagaan kekal yang sesuai agar anak mereka dapat tinggal di tempat yang selesa serta boleh dikunjungi mereka dari semasa ke semasa.
“Kami mahukan dia hidup dengan penuh, berbahagia dan rasa dirinya terhubung,” katanya lagi. – Agensi
