Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JULAI – Fasa ketiga Program Vaksinasi Kebangsaan yang dibukakan untuk orang ramai yang berumur 18 tahun ke atas akan bermula pada 5 Julai 2021 ini.
Menurut Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya yang dikeluarkan hari ini, orang ramai yang berhasrat untuk mendapatkan suntikan COVID-19 semasa fasa ketiga ini dikehendaki untuk menempah slot suntikan.
Ini dikhususkan bagi mereka yang mendapat undangan untuk menghadiri majlis-majlis sempena perayaan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-75 bagi tahun 2021.
Hanya individu-individu yang mempunyai tempahan slot melalui aplikasi BruHealth sahaja dibenarkan untuk menerima suntikan vaksin ini untuk memudahkan proses suntikan vaksin COVID-19.
Sementara walk-in hanya akan dibenarkan bagi warga emas dan orang kurang upaya sahaja dan tempahan slot suntikan vaksin COVID-19 melalui aplikasi BruHealth akan mula dibukakan pada hari 2 Julai 2021 pada pukul 8 malam.
Jelas kenyataan itu lagi, orang ramai hendaklah memastikan maklumat peribadi (nombor kad pengenalan, telefon dan alamat) dalam Bru-HIMS dikemaskini dan memastikan akaun BruHealth mereka telah disahkan.
Manakala bagi mereka yang memerlukan bantuan membuat tempahan slot suntikan melalui aplikasi BruHealth boleh menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 semasa waktu pejabat.
Tempahan-tempahan slot yang dibuat melalui Talian Nasihat Kesihatan 148 hanya dapat dibuat dalam tempoh dua hingga tiga hari selepas menerima maklumat-maklumat yang diperlukan.
Sementara itu, bagi orang ramai yang mempunyai rekod perubatan di hospital atau klinik swasta hendaklah membawa rekod perubatan dan ubat-ubatan mereka semasa perjanjian suntikan vaksin.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan turut mengingatkan orang ramai untuk mengikuti peraturan-peraturan dan proses vaksinasi di setiap pusat-pusat vaksinasi bagi memastikan pelancaran proses menerima vaksin.
Bagi maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148.