Sunday, October 20, 2024
32.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fatah tuntut tindakan segera hentikan genosid di Gaza

    RAMALLAH, 20 OKT – Gerakan Fatah kelmarin menuntut tindakan ‘segera dan menyeluruh’ daripada negara-negara Arab dan masyarakat antarabangsa untuk menghentikan genosid Israel di Semenanjung Gaza, lapor Agensi Anadolu.

    “Apa yang diperlukan sekarang ialah tindakan segera dan menyeluruh di semua peringkat, daripada semua negara Arab dan Islam serta masyarakat antarabangsa untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku ini,” kata jurucakap gerakan itu Abdel Fattah Dula, dalam satu kenyataan.

    Dula turut menggesa pihak-pihak terbabit untuk mengambil tindakan segera dengan menghukum penjenayah pendudukan sebelum mereka menyempurnakan rancangan untuk menghapuskan rakyat di Gaza sama ada melalui pembunuhan, kebuluran, atau pengusiran.

    “Pasukan pendudukan Israel menjadikan Gaza seperti kolam takungan darah rakyat Palestin dengan melakukan tindakan genosid yang dahsyat dan melampaui batas, menyasarkan kawasan seperti Jabalia, Beit Lahiya, serta utara dan barat Semenanjung Gaza tanpa henti,” katanya.

    Dula berkata tiada sebarang tindakan mendesak terhadap Israel untuk menghentikan jenayahnya di Gaza sebagai sesuatu yang memalukan dan mencurigakan, seolah-olah dunia menerima jenayah ini dan membenarkan darah rakyat Palestin ditumpahkan tanpa sebarang halangan atau tindakan serius.

    Sekurang-kurangnya 73 rakyat Palestin terkorban dan puluhan cedera dalam serangan udara Israel yang menyasarkan blok kediaman di bandar Beit Lahia di utara Semenanjung Gaza, menurut Pejabat Media Gaza kelmarin.

    Untuk hari ke-15 berturut-turut, tentera Israel terus melancarkan serangan di utara Gaza. Utara Gaza berada di bawah kepungan dan pengeboman berterusan, dengan rumah-rumah dimusnahkan bersama penghuninya.

    Israel meneruskan serangan kejam ke atas Gaza sejak 7 Oktober 2023, walaupun terdapat resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menyeru gencatan senjata segera. Lebih 42,500 orang terkorban, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta hampir 99,700 orang cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

    Serangan itu telah menyebabkan hampir seluruh penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah sekatan yang berterusan yang menyebabkan kekurangan bekalan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang teruk. Israel kini berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas tindakannya di Gaza. – Bernama

    Antara penduduk Palestin yang diarahkan oleh Israel meninggalkan sekolah di Beit Lahia tempat mereka berlindung, tiba di Kota Gaza kelmarin. Gerakan Fatah seru tindakan segera. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda