Monday, April 28, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Filipina, AS lancar latihan pertahanan bersepadu

    FILIPINA, 27 APRIL – Peluru berpandu ditembak di perairan utara Filipina hari ini, ketika pasukan Amerika Syarikat (AS) dan Filipina mengadakan latihan pertahanan bersepadu pertama mereka.

    Seramai 17,000 anggota tentera mengambil bahagian dalam latihan tahunan Balikatan tahun ini, yang mensimulasikan senario pertempuran berskala penuh.

    Penyiar rasmi China, CCTV, kelmarin melaporkan bahawa Pengawal Pantai China telah menjalankan ‘kawalan maritim’ ke atas Terumbu Tiexian, atau dikenali juga sebagai Sandy Cay, pada bulan ini.

    Tebing pasir kecil itu, yang merupakan sebahagian daripada Kepulauan Spratly, terletak berhampiran Pulau Thitu, juga dikenali sebagai Pag-asa, yang menempatkan kemudahan tentera Filipina.

    Di wilayah pesisir Zambales, beberapa jam perjalanan di utara Manila, wartawan AFP hari ini menyaksikan bagaimana sistem pertahanan udara jarak dekat MADIS milik Kor Marin AS menembak jatuh dua dron dari udara.

    Latihan pertahanan pantai itu juga menyaksikan sistem MADIS bekerjasama dengan sistem peluru berpandu SPYDER milik Filipina, mempertahankannya daripada serangan dron sambil menembak sasaran peluru berpandu pelayaran simulasi.

    “MADIS berfungsi untuk jarak dekat. SPYDER pula memiliki keupayaan jarak sederhana, dan kedua-duanya bertindak balas terhadap ancaman berbeza,” kata Komander Batalion Anti-Udara Littoral ke-3 AS, Matthew Sladek.

    “Semakin kerap kita bekerjasama, ia hanya akan meningkatkan keberkesanan tempur kolektif kita.” – AFP

    Marin Amerika Syarikat (AS) melepaskan sistem pertahanan anti-dron MADIS semasa latihan ketenteraan tahunan bersama AS-Filipina di bandar San Antonio, wilayah Zambales, utara Manila, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda