Tuesday, September 17, 2024
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fisioterapi galak gaya hidup aktif, sihat

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT — Sambutan Hari Fisioterapi Sedunia 2024 anjuran Perkhidmatan Fisioterapi, Kementerian Kesihatan berlangsung meriah di BIBD Connects dan kawasan letak kereta Taman Mahkota Jubli Emas, sempena program Bandar Ku Ceria, pagi tadi.

    Majlis yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai peranan penting fisioterapi dalam membantu masyarakat kekal cergas dan aktif itu telah dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku tetamu kehormat.

    Juru pulih anggota di Kementerian Kesihatan, Dayang Nuraimi Mahirah binti Haji Islam, ketika ditemu bual berkata, “Acara hari ini adalah bagi menyambut Hari Fisioterapi Sedunia 2024, sebagai sebahagian daripada objektif utama kami untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pentingnya fisioterapi dalam kehidupan seharian.”

    Fisioterapi tersebut memfokuskan kepada pergerakan, merawat pesakit atau sesiapa sahaja yang ada masalah fisikal dan Kementerian Kesihatan melalui bahagian fisioterapi mengoptimumkan pergerakan mereka dengan memberikan eksesais dan membuat rawatan hands On.

    Ia bukan sahaja bagus untuk tulang, bahkan ia bagus secara menyeluruh untuk tubuh manusia, yang menumpukan kepada pesakit-pesakit yang mempunyai masalah berkenaan, serta kepada mereka yang suka bersukan, termasuk para atlet dan mereka yang meminati sukan lasak.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham merasmikan Hari Fisioterapi Sedunia 2024, sempena program Bandar Ku Ceria. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya turut menegaskan bahawa Hari Fisioterapi Sedunia, yang diraikan setiap 8 September, merupakan kesempatan untuk memperkenalkan perkhidmatan fisioterapi di negara ini serta memperkukuhkan kerjasama antara ahli fisioterapi di sektor awam dan swasta dan menyahut seruan visi Kementerian Kesihatan iaitu Bersama ke arah Warga Sihat.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh guru agama terlatih dari Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Awang Khairunnisa bin Haji Zainin, diikuti dengan pelancaran aktiviti Movement for Health oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

    Aktiviti itu bertujuan untuk menggalakkan orang ramai dari semua peringkat umur dan keupayaan untuk bergerak sama ada menggunakan alat bantu berjalan, kerusi roda dan peralatan mobiliti, di sepanjang laluan 2.5 kilometer yang dikhaskan mengelilingi ibu negara di dalam suasana dan persekitaran yang kon-dusif dan inklusif bagi semua.

    Sambutan itu turut dimeriahkan dengan penyertaan petak fisioterapi dari pelbagai organisasi termasuk Unit Fisioterapi, Kementerian Kesihatan, Pusat Optima dan Kecergasan Tentera, Pusat Perubatan dan Penyelidikan Sukan, serta beberapa pusat perubatan swasta seperti Gleneagles Pusat Perubatan Jerudong Park dan Traphy (Physiotherapy & Sports Science Centre), Core Physiotherapy, Pusat Kesihatan Panaga dan Spine Joint Physiotherapy.

    Pelbagai aktiviti fizikal, sukaneka, dan kuiz juga diadakan bagi memeriahkan acara.
    Turut hadir pada acara tersebut ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin; Setiausaha Tetap (Kesukanan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Muhammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan dari Kementerian Kesi-hatan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pendidikan, KKBS, pusat-pusat perubatan swasta dan persatuan-persatuan dan organisasi-organisasi bukan kerajaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda