Monday, March 17, 2025
22.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fitnah undang perpecahan, termasuk dosa besar

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OKT – Terdapat segelintir orang dalam kalangan masyarakat yang menyalahgunakan kemudahan laman-laman sosial dan aplikasi telefon bimbit dengan menyebarkan sesuatu perkara, maklumat dan berita tanpa tabayyun atau tanpa menyelidiki terlebih dahulu kebenarannya dan memastikan kesahihannya.

    Khatib dalam khutbah Jumaat hari ini menegaskan, menabur fitnah itu satu perbuatan yang haram, tercela dan termasuk dalam dosa besar, fitnah itu ialah tuduhan, khabar, kisah dan seumpamanya yang di ada-adakan atau di buat-buat untuk memburukkan seseorang.

    Menabur fitnah adalah perbuatan yang buruk dan boleh menjejaskan maruah dan kredibiliti seseorang, fitnah yang dicela oleh syarak itu tidak hanya terbatas dengan lisan saja tapi juga dengan perbuatan.

    Khatib menimbulkan kebimbangan di mana terdapat antara maklumat berita yang disampaikan itu berupa pembohongan semata-mata dan lebih dahsyat lagi, jika pembohongan itu menjadi fitnah dan seterusnya mengaibkan mana-mana pihak atau individu tertentu.

    “Kita hendaklah sentiasa berhati-hati dan menjaga diri daripada perbuatan menabur fitnah kerana bahaya fitnah itu bukan saja menyebabkan mendapat dosa besar malah mengakibatkan kita tidak akan dapat memasuki syurga Allah,” ujarnya.

    Perlu diketahui, tegas khatib, perbuatan menabur fitnah itu mengundang kepada perpecahan atau perbalahan seperti menjadi punca kepada timbulnya salah faham, pertengkaran dan perselisihan sehingga menyebabkan suami isteri bercerai berai, hubungan adik beradik menjadi renggang, keluarga bermasalah, rakan bermusuhan, masyarakat kucar-kacir dan seumpamanya.

    Perbuatan buruk fitnah itu menjurus kepada keburukan, perpecahan dan perbalahan khususnya kepada masyarakat.

    Khatib seterusnya menyeru untuk sama-sama mendidik dan mentarbiyahkan diri, keluarga dan masyarakat dengan saling nasihat menasihati, tegur menegur terhadap perbuatan yang membawa kepada dosa dan maksiat, apatah lagi yang membawa dosa besar seperti menabur fitnah.

    “Tanamkan dalam diri dan jiwa sikap berhati supaya tidak terjebak dalam bencana fitnah dan gunakanlah akal fikiran yang telah dikurniakan Allah itu dengan wajar dan sebaiknya.

    “Marilah kita sama-sama muhasabah diri pada sisa usia yang masih ada ini supaya kita dapat berusaha menjaga setiap tingkah laku dan tutur kata dan sama-sama berdoa semoga Allah melindungi diri daripada melafazkan kata-kata yang boleh mengundang kepada dosa dan kemurkaanNya,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda