BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Autoriti Monetari Negara Brunei Darussalam (AMBD), baru-baru ini, telah menganjurkan Forum FinTech 2019 yang membincangkan mengenai ekosistem FinTech di negara ini yang diadakan di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi.
Hadir menyampaikan ucapan alu-aluan pada forum tersebut ialah Penolong Pengarah Eksekutif (FinTech), AMBD, Haji Mohd Khairul Zaki bin Haji Mohidin yang turut mengongsikan objektif acara dan hasil dari projek Penilaian Ekosistem FinTech Negara Brunei Darussalam dengan KPMG Singapura kepada industri, termasuk agensi-agensi kerajaan, institusi-institusi kewangan, syarikat-syarikat telekomunikasi, syarikat-syarikat FinTech dan pihak-pihak berkepentingan yang lain.
Menurut kenyataan yang diterima dari AMBD, hari ini, sebelum forum dimulakan Ketua Perkhidmatan Kewangan KPMG dari Singapura, Tek Yew Chia turut menyampaikan ucaptama mengenai prospek dan trend FinTech di seluruh dunia.
Forum kemudian diteruskan dengan taklimat daripada Pengarah Kumpulan Strategi Global, KPMG, Diptendu Mitra, yang menyentuh mengenai landskap FinTech di Negara Brunei Darussalam, peluang-peluang untuk aktiviti FinTech, dan juga cadangan untuk membangunkan ekosistem FinTech yang berdaya saing di negara ini.
Perbincangan mengenai ekosistem FinTech di negara ini yang diketuai oleh Associate Director Digital + Innovation KPMG, Talal Ikhwan turut menampilkan panel-panel terdiri daripada Pengurus Kanan AMBD, Jason Lih Cheng Kok; Ketua Inovasi Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Awang Yazid bin Azahari; Ketua Pegawai Pemasaran Progresif Cellular, Devin Edwards; Ketua Pegawai Eksekutif BEEP Digital Solutions, Awang Jeffri bin Said; dan Tek Yew Chia.
