Friday, April 19, 2024
30.4 C
Brunei

    -

    Forum bincang masalah kesihatan mental

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Masalah kesihatan mental adalah penting untuk difahami dan lebih banyak kita fahami tentang masalah berkenaan akan lebih banyak lagi peluang untuk membantu masyarakat agar masalah kesihatan mental yang teruk dapat dicegah.

    Perkara itu antara yang ditekankan oleh Pakar Psikologi Kesihatan Awam, Bahagian Psikologi Masyarakat, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Dayang Fauziyyah Hanani binti Haji Abdul Manap sebagai salah seorang ahli panel dalam Forum Kesihatan Mental yang berlangsung di Auditorium 1, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Katok, hari ini.

    Beliau berkata, aspek kesihatan mental boleh juga dilihat daripada kebolehan seseorang itu menubuhkan hubungan positif dengan orang di sekeliling. Ia juga merujuk kepada cara kita berfikir tentang apa yang dirasa untuk bertindak, cara menghadapi masalah dan cara mengatasinya.

    Sementara itu, seorang lagi ahli panel, Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, KHEU, Awang Muhammad Yussof bin Haji Abdul Majid pula antara lain berkata, dalam Islam, kesihatan mental adalah wajib untuk dijaga sebaik mungkin dan antara yang utama ialah menjaga hati dan emosi.

    “Dengan menjaga hati dan emosi, Insya-Allah setiap individu itu akan dapat mengatasi masalah mental yang dihadapi bukan sahaja diri sendiri akan tetapi menjaga kesihatan mental orang lain,” ujarnya.

    Forum anjuran Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) itu dihadiri oleh seramai 253 orang pegawai, pengetua dan guru besar serta kakitangan dari JPI.

    Hadir selaku tetamu khas ialah Pengarah Pengajian Islam, Haji Shamshol bin Haji Omar.

    Menurut KHEU, forum itu bertujuan untuk meningkatkan strategi dan kemahiran dalam mengenal pasti tanda-tanda awal gangguan mental, cara menanganinya serta memperkasakan teknik daya tindak individu sebagai intervensi dalam menangani isu-isu kesihatan minda dan permasalahan kesihatan mental.

    Ia juga merupakan inisiatif JPI dalam menyokong Hari Kesihatan Mental Sedunia yang diraikan setiap 10 Oktober dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran umum tentang kepentingan serta menjana sokongan tentang aspek-aspek penjagaan kesihatan mental. 

    Ahli-ahli panel ketika menyampaikan forum semasa majlis berkenaan.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mula mengundi dalam pilihan raya terbesar dunia

    NEW DELHI, 19 APRIL - Berjuta-juta orang India mula mengundi pada hari ini dalam pilihan raya enam minggu yang merupakan referendum ke atas Narendra...