Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Gadis Kemboja giat usahakan tenunan asli Takeo

    KEMBOJA – Selepas menamatkan pengajian di universiti dan memulakan kerjayanya sebagai penjawat awam di Kementerian Ekonomi dan Kewangan, Khieu Sina meluangkan masa untuk menubuhkan perniagaan yang sejajar dengan minatnya iaitu tenunan tangan Khmer yang berkualiti.

    Barisan produknya, yang dikenali sebagai Banteay Srei, dianggap sebagai salah satu jenama paling mewah di Kemboja hari ini.

    Sina, 23, menubuhkan pernigaan dalam talian Somros Tombanh, yang memberi tumpuan kepada penjualan produk tenunan mewah. Ia bertujuan untuk mempromosikan sutera tenunan tangan Khmer dan membantu membuka kunci pasaran pencarian baharu, sambil menyediakan peluang pekerjaan untuk penenun yang lebih tua.

    Menurut Sina, daerah Prey Kabbas di wilayah Takeo terkenal dengan kualiti tenunannya.

    “Saya pergi ke daerah Prey Kabbas dan kampung berhampiran di wilayah Takeo, di mana saya bertemu dengan ramai penenun di rumah mereka. Selepas beberapa perbincangan, saya memutuskan mengarahkan mereka menghasilkan jenis tenunan cantik yang saya mahukan,” katanya

    Sina menjalankan perniagaannya, Somros Tombanh, yang menjual produk sutera yang dibuat di daerah Prey Kabbas di wilayah Takeo. – Gambar Instagram Somros Tombanh
    Antara produk tenunan yang dijual oleh Sina secara dalam talian. – Gambar Instagram Somros Tombanh
    Pada masa lalu, produk sutera halus terkenal sukar dibersihkan, kerana pewarna mudah luntur. – Agensi

    Dia sering menyiarkan produknya ke media sosial, dan telah mendapat banyak perhatian daripada orang ramai. Dia berkata bahawa ramai pelanggannya memesan reka bentuk tersuai, walaupun dia juga menyimpan hasil ciptaan yang diimpikan oleh penenunnya sendiri.

    Pelanggannya terdiri daripada salun kecantikan yang sering membeli produknya yang berkualiti tinggi untuk majlis perkahwinan hingga orang ramai serta VIP terkenal di Kemboja.

    “Saya rasa sebab ramai pelanggan memesan daripada saya adalah kerana aktif berada dalam talian. Saya mengemas kini profil saya dengan imej produk secara kerap,” katanya kepada The Post.

    Di samping perniagaannya, dia juga bertindak sebagai broker untuk kebanyakan penenunnya, menjual barangan mereka kepada pemborong.Sina berkata pemasaran dalam taliannya kini menjurus kepada pelanggan tempatan, tetapi dia mahu menarik pelanggan antarabangsa.

    “Pada masa hadapan, saya merancang untuk memperkenalkan kain tenunan tangan Khmer di luar negara, hampir sebagai satu bentuk diplomasi ekonomi. Sebaik sahaja wanita dunia melihat kualitinya, saya pasti ia akan menjadi popular,” tambahnya.

    Sina berkata secara amnya, dia mempercayai penenun daerah Prey Kabbas untuk mencipta reka bentuk yang cantik, walaupun dia berhubung antara mereka dan pelanggan istimewa yang mahukan corak yang dibuat khas.

    Pada masa lalu, produk sutera halus terkenal sukar dibersihkan, kerana pewarna mudah luntur. Ini tidak lagi menjadi masalah, kerana proses pewarnaan hanya menggunakan pewarna berkualiti terbaik.

    Dia berkata bahawa jualan pada mulanya perlahan, tetapi dia menggangap ini sebagai kekurangan capaian dalam talian.

    “Pada bulan pertama memulakan perniagaan saya, saya menjual sekitar 50 set pakaian sebulan, kira-kira separuh daripada jumlah dagangan yang kami lakukan sekarang,” tambahnya.

    Walaupun kemasukannya ke pasaran berpunca daripada rasa cinta terhadap tenunan sutera Khmer, dia mengakui pada mulanya, dia tahu serba sedikit tentang proses tenunan sebenar.

    “Saya mula belajar lebih banyak apabila saya mula memasarkannya. Sebelum ini, saya tidak faham apa perbezaan antara bingkai tenunan empat dan 12 aci,” dia menjelaskan.

    “Sutera tenunan secara tradisinya lebih mahal daripada bahan apa pun. Dahulu, jika seorang wanita memakai pakaian yang diperbuat daripada sutera, sudah pasti dia kaya.

    “Kini, terdapat banyak produk sutera import yang murah,” tambahnya.

    Beliau menjelaskan ramai pengguna tidak mengetahui perbezaan antara produk buatan tangan Kemboja dan barangan mesin yang lebih murah keluaran dari luar negara. Pada pandangan pertama, sesetengah orang terpengaruh dengan tekstur yang licin bagi barangan buatan mesin, tetapi tenunan itu tidak mempunyai ciri unik seperti yang dibuat dengan cara tradisional, katanya.

    Menurut Sina, pakaian skirt dan blaus yang diimport mungkin berharga antara AS$20 dan AS$100, manakala barangan buatan tangan akan bermula sekitar AS$100 dan berkisar sehingga AS$300 untuk reka bentuk tersuai. Disebabkan oleh jurang harga ini, permintaan terhadap sutera tradisional telah menurun. Akibatnya, ramai penenun tradisional telah meninggalkan alat tenun mereka dan bekerja di kilang pakaian.

    Prum Chanthou, 34, penenun generasi ketiga di kampung Pei, wilayah Tnaot, daerah Bati, berhampiran daerah Prey Kabbas, adalah pembekal kepada perniagaan Sina yang berpangkalan di Phnom Penh.

    Wanita yang mempunyai lima adik-beradik itu semuanya penenun berkata, jika bekerja seorang diri, dia boleh mengambil masa sehingga sebulan untuk menyiapkan setiap langkah proses iaitu menganyam, mewarna, mengering dan sebagainya. Jika dia bekerja dengan orang lain untuk dibahagikan kerja itu secara berperingkat, dan boleh menyiapkan satu blaus dengan skirt padan dalam seminggu.

    “Pada masa akan datang, mungkin tidak ada yang tinggal untuk menganyam. Golongan muda pergi ke sekolah, dan hanya orang tua yang tinggal di rumah dengan alat tenun pada siang hari. Kerja itu sukar dan kami hanya memperoleh 50,000 hingga 60,000 riel sebulan, jadi pekerja kilang mendapat lebih banyak,” katanya kepada The Post.

    Chanthou berkata bilangan penenun yang tinggal di kawasannya semakin berkurangan, sebahagian besarnya disebabkan oleh banyaknya import yang murah.

    Beliau meminta institusi kerajaan membantu mempromosikan produk dalam negeri dengan mengurangkan import dari luar negara. Oum Saroeun, pengarah pejabat kebudayaan pentadbiran daerah Prey Kabbas, bersetuju bahawa kuasa pasaran bertanggungjawab terhadap penurunan itu.

    “Harga pasaran bagi barangan buatan tangan adalah rendah, dan inilah sebabnya ramai orang kini bekerja di kilang pakaian. Kini, hanya orang tua sahaja yang terus menenun. Mereka tinggal di rumah untuk menjaga cucu dan menganyam,” katanya.

    Beliau menambah, semasa zaman di mana kilang di daerah ini tidak banyak, terdapat kira-kira 5,000 mesin tenun beroperasi. Kini, dia menganggarkan bahawa kurang daripada 3,000 telah digunakan. Beliau percaya produk Kemboja kurang menarik minat pengguna berbanding barangan keluaran besar-besaran yang lebih murah.

    “Pada masa lalu, Thailand mengupah penenun terbaik kami untuk melatih rakyat di negara mereka. Kini mereka telah mengindustrikan reka bentuk kami dan menghasilkannya pada jentera,” tambahnya.

    Sina menggalakkan warga Kemboja untuk menyokong produk sutera tenunan tangan kerajaan, dan penenun yang bekerja keras yang mengekalkan tradisi kuno.

    “Apabila pelanggan memahami bahawa mereka membeli bukan sahaja pakaian, tetapi sesuatu yang mewakili warisan budaya tentang makna menjadi Khmer, saya percaya mereka akan bersedia untuk membayar harga yang kami minta,” katanya. – ANN/The Phnom Penh Post

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...