Sunday, October 6, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gajah betina di Zoo Los Angeles terpaksa dimatikan

    LOS ANGELES, 5 JAN – Seekor gajah Asia berusia 53 tahun terpaksa dibunuh di Zoo Los Angeles selepas gajah itu tidak dapat berdiri, umum zoo tersebut kelmarin.

    Shaunzi, salah seekor daripada dua gajah betina di zoo tersebut, ditemui tidak dapat berdiri malam Selasa selepas ia terjatuh di ruang pamerannya.

    “Kakitangan penjagaan haiwan dan doktor haiwan zoo bertindak balas dengan cepat dan bekerja sepanjang malam untuk membantu Shaunzi. Walaupun menggunakan semua sumber dan kakitangan yang ada, usaha itu akhirnya tidak berjaya,” menurut kenyataan zoo.

    Keputusan ‘menyayat hati’ dibuat untuk menenangkan dan mematikan haiwan itu pada Rabu, kata kenyataan itu.

    Tidak diketahui mengapa gajah itu tidak dapat berdiri dan autopsi akan dibuat, kata jurucakap zoo, Carl Myers.

    Gambar yang dikongsikan oleh Zoo Los Angeles menunjukkan gajah betina, Shaunzi berada dalam ruang pameran zoo tersebut. Shaunzi terpaksa dibunuh disebabkan ia tidak mampu berdiri selepas terjatuh. – AP

    Dilahirkan di Thailand, Shaunzi menghabiskan masanya di sarkas, dibawa ke zoo Fresno Chaffee pada tahun 1983 dan dihantar ke Zoo Los Angeles pada tahun 2017.

    Jangka hayat median gajah betina Asia dalam penjagaan manusia telah dianggarkan oleh pelbagai zoo, penyelidik dan kumpulan pemuliharaan sekitar 40 hingga 50 tahun. Gajah di habitat liar boleh hidup beberapa dekad lebih lama.

    Gajah Asia dianggap terancam dan hanya kira-kira 40,000 ekor daripadanya kekal di alam liar. Ia terancam oleh pemusnahan habitatnya dan oleh pemburu haram yang membunuhnya untuk mendapatkan gading.

    “Shaunzi menjalani hidup yang seimbang dan merupakan duta untuk spesiesnya. Ia membantu penduduk Los Angeles belajar tentang hidupan liar dan cabaran yang haiwan itu hadapi di kawasan asalnya,” kata zoo itu.

    “Ia akan sangat dirindui oleh kakitangan Zoo Los Angeles, ahli dan berjuta-juta pengunjung yang datang ke zoo setiap tahun.”- AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda