Saturday, April 19, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gambar budak Palestin kudung menang Anugerah Foto Dunia

    AMSTERDAM, 17 APRIL – Sebuah potret menyayat hati memperlihatkan seorang kanak-kanak lelaki Palestin berusia sembilan tahun telah kehilangan kedua-dua belah tangannya akibat serangan Israel di Bandar Gaza telah memenangi Anugerah World Press Photo of the Year 2025, hari ini.

    Gambar itu, merupakan hasil karya Samar Abu Elouf untuk The New York Times, memaparkan Mahmoud Ajjour, yang dipindahkan ke Doha selepas satu letupan menghancurkan sebelah tangannya dan mencederakan tangannya yang satu lagi tahun lalu.

    “Salah satu perkara paling sukar yang dijelaskan oleh ibu Mahmoud kepada saya ialah apabila Mahmoud mula menyedari bahawa kedua-dua tangannya telah dipotong, ayat pertama yang keluar dari mulutnya ialah, ‘Bagaimana saya hendak peluk ibu?’” kata Elouf.

    Jurugambar itu juga berasal dari Gaza dan telah dipindahkan pada Disember 2023. Kini beliau merakam potret rakyat Palestin yang cedera parah dan kini berada di Doha.

    Menurut Pengarah Eksekutif World Press Photo, Joumana El Zein Khoury, “Ini adalah foto yang senyap tetapi bersuara lantang. Ia menceritakan kisah seorang budak lelaki, tetapi juga mengenai peperangan yang lebih luas dan kesannya untuk generasi akan datang.”

    Juri memuji komposisi foto yang kuat dan penggunaan cahaya yang baik serta subjeknya yang mencetuskan renungan mendalam, khususnya persoalan tentang masa depan Mahmoud.

    Mahmoud kini belajar bermain permainan di telefon, menulis dan membuka pintu menggunakan kakinya, kata pihak juri.

    “Impian Mahmoud adalah mudah, dia mahu mendapatkan tangan palsu dan menjalani hidup seperti kanak-kanak lain,” kata penganjur World Press Photo dalam satu kenyataan.

    Juri juga telah memilih dua lagi foto sebagai pemenang tempat kedua. – AP

    Gambar memaparkan Mahmoud Ajjour yang cedera dalam serangan Israel, di Bandar Gaza, pada Mac 2024. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda