TOKYO, 15 OGOS – Bekalan elektrik terputus di Osaka dan kawasan sekitar barat Jepun awal pagi hari ini, menjejaskan kira-kira 245,000 rumah pada waktu puncak, lapor Xinhua.
Gangguan bermula sekitar 4 pagi dan menjejaskan kawasan bandar Osaka serta sebahagian Moriguchi.
Kansai Transmission and Distribution Inc melaporkan bekalan elektrik dipulihkan menjelang 9 pagi waktu tempatan.
Insiden ini menyebabkan sekurang-kurangnya 140 isyarat lalu lintas di Osaka dan Moriguchi gagal berfungsi.
Pengangkutan awam turut terjejas, dengan Keihan Electric Railway Co dan West Japan Railway Co melaporkan kelewatan serta pembatalan beberapa laluan kereta api.
Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan. – Bernama