MALANG nasib juara Dewi Remaja 2018/2019 iaitu Haneesya Hanee apabila penyebaran video pesta arak melibatkannya menjadi punca kemenangan dia dalam pertandingan dilucutkan.
Penarikan gelaran itu diumumkan oleh Pengarang Majalah Remaja iaitu Faiz Aimman selepas pihaknya berasa kesal dengan insiden tersebut apabila perserta terbabit melanggar syarat penyertaan dan kontrak pertandingan itu.
Dalam sidang media itu Hanee atau nama sebenarnya Sharifah Haneesya Sayed Sahlan, 18, turut berharap semua pihak berhenti menyalahkan ibunya kerana apa yang terjadi merupakan kesalahan dia sendiri.
“Pertama kali saya nak minta maaf sangat-sangat. Ia sesuatu kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku. Saya mengaku itu salah dan perbuatan saya.
“Saya tak tahu kenapa dan tidak menjangka akan jadi macam ini. Saya sendiri terima keputusan pihak penganjur menarik balik gelaran tersebut.

“Saya minta maaf sebab dah rosakkan nama Dewi Remaja dan saya minta orang berhenti bercakap ini salah mak saya yang tak reti menjaga saya.
“Ni semua atas perbuatan saya. Pilihan saya. Mak saya tiada kaitan. Kalau boleh, biarkan mak saya sendirian, semua salah saya, keputusan saya,” katanya sambil menitiskan air mata dalam video yang disiarkan menerusi Facebook majalah berkenaan.
Selain Hanee, sidang media tersebut turut dihadiri wakil pihak penganjur, NU Ideaktiv Sdn Bhd yang memiliki jenama berkenaan dan pemenang tempat kedua pertandingan itu, Tia Sarah.
Dalam pada itu, pihak penganjur memberitahu walaupun gelaran tersebut telah ditarik namun tiada peserta lain yang akan diangkat menjadi juara sebaliknya pemenang lain akan kekal pada kedudukan masing-masing.
“Kami mengambil keputusan untuk menarik semula gelaran Juara Dewi Remaja 2018/2019 yang disandang oleh Hanee.
Namun, tiada sesiapa yang akan mengantikan atau mengambil gelaran tersebut.
“Keputusan itu dibuat kerana kami ingin menjaga kredibiliti jenama kami dan mengekalkan tiada pemenang untuk edisi kali ini.
“Manakala, pemenang-pemenang seperti tempat kedua, ketiga dan lain-lain masih kekal yang sama. Mereka akan mewakili Dewi Remaja untuk sebarang aktiviti,” kata Faiz.
Isu berkenaan telah menjadi perdebatan hangat netizen termasuklah mempertikaikan kredibiliti juara pertandingan itu selepas tersebarnya video baru-baru ini memperlihatkan Hanee bersama rakan-rakannya berpesta sambil minum arak.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira sebulan sebelum pertandingan berkenaan diadakan.
Episod akhir pencarian Dewi Remaja 2018/2019 telah berlansung di Visual Three Studio, Sri Kembangan pada Ahad lalu menyaksikan Hanee dinobatkan sebagai Juara.
Manakala gelaran naib juara pula disandang oleh Tia Sarah dan tempat ketiga dimenangi oleh Sherin Amiri. – Agensi