DENPASAR, INDONESIA, 29 OGOS – Gempa bumi kuat berukuran 7.1 magnitud dan beberapa gegaran susulan menggegarkan Bali dan pulau-pulau Indonesia lain hari ini, lapor Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS), menyebabkan pelancong panik keluar ke jalan raya tetapi tidak menyebabkan kerosakan besar.
Gempa berlaku pada kedalaman sekitar 515 kilometer (km) di luar pantai timur laut Bali pada kira-kira 3:55 pagi waktu tempatan (1955 GMT Isnin), menurut USGS.
Gegaran itu dirasai di seluruh Bali, dan juga di pulau-pulau berdekatan Lombok dan Sumbawa.
Penduduk Bali berkata, gegaran susulan kedua membawa gegaran “lebih lama dan lebih kuat” daripada yang pertama.
“Ketika gempa pertama melanda, saya kejutkan suami. Tidak lama selepas itu, gempa kedua melanda, jadi kami segera membawa anak-anak kami ke luar,” kata Ardylla Yuliacitra, 31.
“Gempa pertama membuat saya bergoyang seperti di atas perahu, dan yang kedua membuat rumah saya bergegar.”
USGS merekodkan gempa susulan 5.4 magnitud dan 5.6 magnitud dalam beberapa minit selepas gempa awal.
Pusat gempa berada 181km timur laut pulau Gili di luar Lombok, perjalanan bot singkat dari Bali. – AFP