Tuesday, October 22, 2024
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gempa bumi landa Korea Selatan

    SEOUL, 12 JUN – Gempa bumi berukuran 4.8 pada skala Richter melanda barat daya Korea Selatan hari ini, kata agensi cuaca negara itu, dengan saksi melaporkan bunyi ‘dentuman kuat’ kedengaran walaupun tiada kerosakan besar dilaporkan.

    Gempa bumi itu melanda empat kilometer ke selatan daerah Buan, iaitu sekitar 205 kilometer ke selatan Seoul, pada 8:26 pagi, menurut Pentadbiran Meteorologi Korea.

    Mesej teks amaran telah dihantar kepada rakyat di seluruh negara, menasihatkan mereka yang berada di kawasan terjejas supaya berhati-hati terhadap kemungkinan objek jatuh dan gegaran susulan.

    Perdana Menteri, Han Duck-soo menga-rahkan kerajaan supaya melaksanakan langkah-langkah menyeluruh sebagai tindak balas terhadap gempa bumi, dengan laporan tempatan mengatakan bunyi dan gegaran turut dialami di bandar Sejong, Daejeon dan Cheonan.

    Penduduk Buan, Yang Seo-yeon memberitahu AFP bahawa dia mendengar ‘dentuman kuat’ ketika dia sedang bersiap untuk pergi bekerja pada waktu pagi.

    “Ia kedengaran seolah-olah saya berada di tengah-tengah tapak pembinaan yang besar. Kemudian rumah saya mula bergegar.”

    Tiada kerosakan besar yang dilaporkan setakat hari ini, menurut pihak berkuasa.

    Tidak seperti negara jiran Jepun, semenanjung Korea jarang mengalami gempa bumi besar.

    Gempa paling kuat yang pernah berlaku di negara itu adalah gempa bumi berukuran 5.8 magnitud yang melanda Gyeongju, juga di tenggara, pada September 2016. – AFP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda