Friday, November 15, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Glasier ‘gergasi’ mencair, ancam perubahan iklim

    GLASIER ADYGENE – Di sebuah pondok kayu yang terletak di kawasan pergunungan tinggi Kyrgyzstan, saintis Gulbara Omorova berjalan di atas batu berwarna kelabu, mengenang kembali bagaimana kawasan tersebut dahulu merupakan glasier beberapa tahun yang lalu.

    Pada ketinggian 4,000 meter, penyelidik berusia 35 tahun itu dikelilingi oleh puncak-puncak Banjaran Tian Shan, yang juga merentasi China, Kazakhstan dan Uzbekistan.

    Kawasan itu dahulunya mempunyai ribuan glasier namun kini sedang mencair dengan kadar yang membimbangkan di Asia Tengah, kawasan yang sudah terkesan teruk oleh perubahan iklim.

    Seorang ahli glasiologi, Omorova yang merekodkan proses pencairan itu, bimbang mengenai masa depan.

    Beliau mendaki selama masa enam jam untuk sampai di pondok sederhana berbentuk segi tiga yang berfungsi sebagai stesen kajian saintifik, hampir setinggi awan.

    Omorova berdiri di sebelah tasik berhampiran glasier Adygene di banjaran pergunungan Tian Shan. – AFP
    Omorova ketika duduk di sebelah pondok yang berfungsi sebagai stesen sains di banjaran pergunungan Tian Shan. – AFP
    Omorova membuat pengukuran di tasik air cair di banjaran pergunungan Tian Shan. – AFP
    Pakar glasier Gulbara Omorova membuat pengukuran glasier menggunakan pancang ablasi di banjaran pergunungan Tian Shan. – AFP
    Omorova menunjukkan termometer yang menunjukkan suhu air cair di banjaran pergunungan Tian Shan. – AFP

    “Kira-kira lapan hingga 10 tahun lalu, awda masih boleh melihat glasier dengan lapisan salji,” kata Omorova kepada AFP.

    “Tetapi dalam tiga hingga empat tahun kebelakangan ini, ia telah hilang sepenuhnya. Tiada lagi salji, tiada lagi glasier,” tambahnya.

    Kesan pemanasan global amat ketara di Asia Tengah, yang telah mengalami gelombang bencana cuaca ekstrem.

    Pencairan ribuan glasier itu menjadi ancaman besar kepada penduduk di kawasan daratan yang sudah mengalami kekurangan sumber air.

    Sebagai ‘menara air’, glasier sangat penting untuk keselamatan makanan dan bekalan air tawar yang kini semakin menyusut dengan pantas.

    Dengan peralatan pengukuran di tangannya, Omorova melutut di atas aliran air cair, berdiri di atas permukaan ais kelabu yang berkilauan di bawah pancaran matahari yang terik.

    “Kami mengukur segala-galanya,” katanya. “Glasier tidak dapat pulih disebabkan oleh peningkatan suhu,” jelasnya.

    Sedikit ke depan, Omorova menunjukkan glasier Adygene yang semakin menyusut, menyatakan bahawa ia telah berkurang sekitar 16 sentimeter setiap tahun.

    “Itu lebih dari 900 meter sejak tahun 1960an,” tambahnya.

    Glasier ‘gergasi’ itu hanyalah salah satu daripada ribuan glasier yang sedang lenyap secara perlahan di kawasan tersebut.

    Laporan oleh Bank Pembangunan Eurasia menyatakan bahawa antara 14 hingga 30 peratus glasier di Banjaran Tian Shan dan Pamir, iaitu dua banjaran gunung utama di Asia Tengah, telah mencair dalam tempoh 60 tahun yang lalu.

    Omorova memberi amaran keadaan semakin buruk.

    “Pencairan ini jauh lebih teruk berbanding tahun-tahun sebelumnya,” katanya.

    Dengan saintis meramalkan bahawa 2024 mungkin menjadi tahun terpanas dalam sejarah, dan profesion seperti Omorova semakin meningkat.

    Namun, sumber di Kyrgyzstan amat terhad, salah satu negara termiskin di Asia Tengah bekas Soviet.

    “Kami kekurangan peralatan pengukuran dan tiada dana yang mencukupi untuk mengangkut peralatan ke stesen pemerhatian kami dan bahkan tidak mempunyai bekalan elektrik,” kata Omorova.

    Beliau berharap agar kerajaan Kyrgyzstan dapat menggubal undang-undang untuk melindungi glasier-glasier yang semakin menyusut itu.

    Pencairan glasier turut mencetuskan ancaman baharu bagi bandar-bandar di Kyrgyzstan, di mana ais yang cair membentuk tasik baharu yang mengalir deras ke bawah gunung, termasuk ke arah ibu negara Bishkek.

    Di lembah yang lebih rendah, pada ketinggian 2,200 meter, dua saintis yang merupakan adik-beradik iaitu Sergei dan Pavel Yerokhin, sedang melakukan kajian di tebing air yang mengalir deras.

    Abangnya, Sergei, 72 tahun, memberi amaran tentang bahaya aliran air itu.

    “Jisim air ini membawa batu bersamanya, mengalir ke lembah, dan boleh sampai ke bandar-bandar,” katanya kepada AFP.

    Tugas mereka adalah memantau dan meramalkan aliran air serta menyediakan peta bagi memastikan penduduk dan infrastruktur tidak berada di kawasan bahaya itu.

    Pavel, telah memasang sensor kira-kira 50 sentimeter di atas permukaan air, yang akan menghantar isyarat radio sekiranya berlaku banjir.

    Bagi kerajaan Kyrgyzstan, pencairan glasier bukan sahaja mengancam kerosakan infrastruktur.

    Pembahagian air di rantau itu, yang diatur sejak era Soviet, kekal menjadi isu sensitif dan sering menjadi sumber ketegangan antara negara-negara jiran.

    Kyrgyzstan dan Tajikistan, di mana masing-masing mempunyai sekitar 10,000 glasier, menurut Omorova, adalah pembekal utama air untuk Asia Tengah.

    “Kami berkongsi air dengan jiran-jiran kami di hilir,” kata Omorova, merujuk kepada Kazakhstan, Uzbekistan dan Turkmenistan, yang menempatkan majoriti penduduk Asia Tengah.

    Selain peningkatan suhu, glasier juga menghadapi ancaman lain: perebutan sumber semula jadi yang banyak di rantau itu semakin meningkat, termasuk emas, yang proses perlombongannya menggunakan bahan kimia mempercepatkan pencairan ais.

    Kyrgyzstan dan Tajikistan kini sedang berusaha meningkatkan kesedaran tentang bencana yang semakin hampir ini.

    Presiden Kyrgyzstan, Sadyr Japarov, tahun lalu memberi amaran bahawa ramalan menunjukkan glasier Asia Tengah akan berkurang separuh menjelang tahun
    2050 dan lenyap sepenuhnya pada tahun 2100. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda