MADRID, 26 FEB – Sepakan melengkung pemain tengah veteran, Luka Modric memberikan Real Madrid kemenangan 1-0 ke atas Sevilla kelmarin, sekali gus meletakkan mereka lapan mata di depan Barcelona di puncak La Liga di mana mereka tidak pernah tewas dalam 20 perlawanan.
Kekalahan liga terakhir Madrid berlaku pada bulan September.
Girona yang berada di tempat ketiga ketinggalan satu mata lagi di belakang. Mereka akan beraksi hari ini apabila menentang Rayo Vallecano.
Dengan Jude Bellingham dan Joselu yang mengalami kecederaan, serta Eduardo Camavinga dan Dani Carvajal digantung, Madrid kelihatan goyah pada peringkat awal permainan dan Youssef En-Nesyri pula terlepas peluang awal untuk pasukan pelawat.
Perlawanan kelmarin kelihatan menemui jalan buntu sehingga Modric yang berusia 38 tahun, bermain sebagai pemain gantian lewat, menghasilkan rembatan hebat dari luar kotak penalti selepas 81 minit ketika pengadil menolak dakwaan Sevilla yang berang kerana ofsaid.
Sepakan Lucas Vazquez yang sama hebatnya telah dibatalkan oleh VAR selepas 10 minit, keputusan yang mencetuskan ejekan dan membawa kepada kad kuning untuk jurulatih Real, Carlo Ancelotti.
“Kami berhak mendapat kemenangan, kami mengekalkan momentum sehingga akhir permainan dan inilah yang berlaku apabila awda mencapainya,” kata jurulatih dari Itali itu.
Perlawanan itu menyaksikan Sergio Ramos yang berusia 37 tahun kembali ke Santiago Bernabeu di mana dia menghabiskan 16 musim, walau bagaimanapun, aksi Modric telah mencuri perhatian. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/02/P22-3A-web-AFP_27022024.jpg)