MADRID, 19 Jun – Bintang Perancis, Antoine Griezmann telah menandatangani kontrak lanjutan bersama Atletico Madrid sehingga 2023, menurut pengumuman kelab kelmarin.
Griezmann menerima tawaran daripada Barcelona tetapi CEO Atletico Miguel Angel Gil Marin terbang ke Rusia kelmarin di mana penyerang itu bersama skuad Perancis untuk menandatangani perjanjian baharu.
Kelab itu juga mendedahkan bahawa pemain pertahanan Perancis, Lucas Hernandez juga telah melanjutkan kontraknya bersama kelab sehingga 2024.
Pemain berusia 27 tahun itu telah menjadi buruan Barcelona namun akhirnya dia memutuskan untuk kekal bersama kelab Sepanyol itu.
Griezmann menjaringkan gol menerusi penalti bantuan daripada keputusan VAR pertama dalam sejarah Piala Dunia, di mana Perancis berjuang untuk menewaskan Australia di Kazan tempoh hari.
Bulan lepas, dia menjaringkan dua gol dalam perlawanan akhir Liga Europa menentang Marseille dengan keputusan 3-0.
Ia merupakan gelaran terbesar pertama buat Griezmann bersama Atletico selepas tewas dalam sepakan penalti kepada Real Madrid semasa perlawanan akhir Liga Juara-Juara 2016 dan juga tewas kepada Real dua tahun sebelumnya.
Dia juga tewas dalam Kejuaraan Eropah bersama Perancis pada musim panas yang sama.
“Saya mahu memenangi Liga Juara-Juara, ia bukan nasib yang sukar, cuma kami kekurangan sesuatu,” katanya.
Kesetiaannya kepada Atletico dibalas dengan kenaikan gaji kepada 20 juta euro setahun, menurut laporan media Sepanyol dan menjadikannya sebagai pemain termahal dalam sejarah kelab. – AFP