Saturday, November 16, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Guna pasport individu lain, 2 dipenjara

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MEI – Dua individu telah pun dijatuhkan hukuman dua bulan penjara atas kesalahan di bawah Akta Pasport Penggal 146 menerusi kes pendakwaan di Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN).

    Habil bin Ismail, 51, telah dijatuhkan hukuman atas kesalahan Bab 12(1)(c), Akta Pasport Penggal 146 iaitu menyamar atau mengaku dirinya dengan palsu dengan menggunakan pasport orang lain.

    Manakala itu, Isen bin Husin, 46, warganegara Malaysia telah pun dijatuhkan hukuman atas kesalahan Bab 12(1)(i), Akta Pasport Penggal 146 iaitu bersubahat dalam membantu Habil untuk menggunakan pasport orang lain.

    Pendakwaan dibuat di hadapan Majistret Sharifah Nur Baqiyah binti Malai Shahran dan dijalankan oleh pegawai pendakwa JIPK, Adi Yusra bin Haji Adanan.

    Kes-kes berkenaan merupakan hasil daripada pemeriksaan imigresen dijalankan oleh pegawai imigresen di Pos Kawalan Sungai Tujoh yang kemudiannya dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang untuk siasatan lanjut.

    Sehubungan itu, JIPK mengalu-alukan kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan pesalah-pesalah imigresen untuk menghubungi terus ke talian hotline JIPK di talian 8734888, 8753888 (Bandar Seri Begawan atau 8984111 (Kuala Belait).

    Gambar Freepik

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda