SEOUL, 24 Feb – Korea Selatan menggunakan pembesar suara gergasi untuk menyiarkan berita pembunuhan yang disifatkan dramatik abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di sempadan jiran utaranya itu, semalam.
Abang Jong-un, Jong-nam, anak lelaki sulung mendiang pemimpin Pyongyang, Kim Jong-il, meninggal dunia 13 Februari lalu selepas diserang dua wanita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, dalam apa yang disyaki pembunuhan dirancang oleh Korea Utara.
Media tempatan Korea Utara mendiamkan diri berhubung pembunuhan itu sehingga ia mengeluarkan serangan balas terhadap siasatan Malaysia semalam, tanpa mendedahkan nama Jong-nam sebagai mangsanya.
Stesen televisyen MBC berkata, Korea Selatan minggu ini memasang pembesar suara desibel tinggi bagi memastikan butiran berhubung kematian Jong-nam, satu ketika dulu dipercayai waris kepimpinan, bergema di kawasan sempadan.
“Kim Jong-nam meninggal dunia selepas diserang dua wanita tidak dikenali di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Malaysia.
“Pihak berkuasa Malaysia berkata empat suspek adalah warga Korea Utara termasuk seorang yang sudah ditahan,” kata mesej yang dipasang daripada pembesar suara dan dimainkan semula stesen televisyen itu.
Berita mengenai dunia luar disekat dan ditapis di Pyongyang di bawah pemerintahan keluarga Kim, memerintah negara itu selama berdekad secara kuku besi dan personaliti kultus.
Tentera Korea Selatan selama beberapa tahun menyiarkan campuran berita dunia, mesej propaganda dan lagu K-pop menyeberangi sempadan menggunakan berpuluh pembesar suara, menyasar tentera di negara terasing itu. Ia memiliki jarak liputan sejauh 10 kilometer. – AFP