Friday, September 20, 2024
29.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Guna rawatan komprehensif tangani masalah mental

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 SEPT – Kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan mental dalam kalangan masyarakat Brunei terus meningkat, dengan jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan di Jabatan Psikiatri dan Psikologi mencatatkan peningkatan sebanyak 17 peratus pada tahun 2023–2024, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit seramai 13,246 orang.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, menekankan bahawa peningkatan itu mencerminkan kesedaran yang semakin meluas mengenai kepentingan mendapatkan rawatan kesihatan mental yang tepat dan komprehensif.

    Beliau menyampaikan perkara tersebut semasa ucapan sembah alu-aluan pada Majlis Forum Perdana Majlis Ilmu 2024 di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, pagi tadi.

    Yang Berhormat Dato turut memuji usaha pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan dalam melaksanakan kempen kesedaran yang menggabungkan pendekatan Islam dan sains, yang sedikit sebanyak telah membantu mengurangkan stigma terhadap masalah kesihatan mental.

    Tema Majlis Ilmu 2024, Menangani Gejala Mental memberi fokus kepada kesihatan mental sebagai isu kesihatan global yang semakin membimbangkan.

    Beliau menjelaskan bahawa kesihatan mental dan fizikal perlu diberi perhatian yang sama bagi memastikan kesejahteraan menyeluruh, selaras dengan definisi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menekankan kesejahteraan fizikal, mental, dan sosial.

    Forum perdana tahun ini bertemakan Kestabilan Sosioekonomi dan Impaknya Terhadap Kesihatan Mental.

    Yang Berhormat Dato menekankan bahawa kestabilan sosioekonomi, seperti tekanan kewangan, pengangguran dan kemiskinan, boleh memberi impak besar terhadap kesihatan mental individu, berpotensi mencetuskan keresahan, kemurungan dan kecelaruan mental yang serius.

    Beliau menekankan pentingnya kesedaran terhadap gejala-gejala awal penyakit mental serta mengambil tindakan segera untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya bagi mengelakkan kesan yang lebih buruk.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham semasa menyampaikan sembah alu-aluan pada Majlis Forum Perdana Majlis Ilmu 2024 di Dewan Plenari, ICC, Berakas. – GAMBAR oleh RAFI ROSLI
    Antara jemputan yang hadir pada majlis tersebut. – GAMBAR oleh RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda