Sunday, January 19, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gunung berapi Kanlaon meletus, penduduk diarah berpindah

    MANILA, 9 DIS — Gunung berapi Kanlaon di tengah Filipina meletus hari ini, memuntahkan abu besar ke udara, menyebabkan pihak berkuasa mengarahkan pemindahan penduduk dari kampung-kampung sekitar.

    Gunung Kanlaon, yang memiliki ketinggian lebih 2,400 meter di atas paras laut di pulau Negros, merupakan salah satu daripada 24 gunung berapi aktif di Filipina.

    “Letusan tersebut berlaku di kawah puncak Gunung Berapi Kanlaon pada jam 3:03 petang waktu tempatan hari ini,” menurut kenyataan Institut Volkanologi dan Seismologi Filipina (PHIVOLCS).

    “Semua unit kerajaan tempatan dinasihatkan untuk memindahkan penduduk dalam radius enam kilometer dari puncak gunung berapi dan bersiap sedia untuk pemindahan tambahan sekiranya aktiviti bertambah buruk,” tambah kenyataan itu.

    Rakaman video yang dikongsi penduduk sekitar di media sosial menunjukkan gumpalan asap kelabu berbentuk bunga kubis besar mengepul di atas kawah Gunung Kanlaon.

    Pejabat seismologi berkata, kepulan itu meningkat sehingga 3,000 meter di atas kawah, dengan abu merah panas dan bahan lain turut jatuh di cerun tenggara gunung berapi tersebut.

    Aktiviti itu menunjukkan “letusan magmatik telah bermula dan mungkin berkembang menjadi letusan lebih eksplosif,” tambahnya.

    Pada September lalu, ratusan penduduk berhampiran telah dipindahkan selepas gunung berapi itu mengeluarkan ribuan tan gas berbahaya dalam sehari. — AFP

    Foto ini menunjukkan kawah Gunung berapi Kanlaon seperti yang dilihat dari bandar La Castellana, Negros Occidental, Filipina tengah. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda