Wednesday, April 30, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hadiah mewah meriahkan Piala Lexus Brunei

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 APRIL – Kejohanan Piala Lexus Brunei 2025 berjaya dianjurkan dengan penuh meriah oleh Lexus Brunei selama dua hari bermula 26 hingga 27 April lalu, bertempat di The Empire Golf & Country Club.

    Kejohanan eksklusif tersebut menghimpunkan seramai 172 pemilik kenderaan Lexus yang berkongsi minat dalam sukan golf, sekali gus menyemarakkan suasana hujung minggu berkonsepkan sukan dan perayaan dalam semangat kesukanan dan gaya hidup premium.

    Pertandingan dijalankan menggunakan format individual stroke play 18 lubang, dengan tiga kategori utama dipertandingkan iaitu Lelaki Terbuka, Senior dan Wanita.

    Faiz Damit muncul sebagai juara nett keseluruhan kejohanan, manakala Mitchell Leong menempatkan diri dalam senarai tiga teratas bagi kategori gross.

    Dalam pada itu, Pengiran Musa Pengiran Jaafar mendahului kategori Net Division A (handicap 0–12), Himan Abdullah unggul dalam Net Division B (handicap 13–24), Haji Abdul Kahar Hussin mengetuai kategori Senior, manakala Stephanie Ng menguasai kategori Wanita.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary dan Haji Ahmad Omar menyampaikan piala kepada Faiz Damit selaku pemenang keseluruhan nett bagi Piala Lexus Brunei. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Bagi memeriahkan lagi acara, para peserta turut berpeluang memenangi empat hadiah Hole-in-One lumayan berupa model Lexus LBX, Lexus ES Hybrid, Lexus NX Hybrid dan Lexus RX.

    Pelbagai acara novelti turut diadakan seperti Longest Drive, Nearest to Pin dan cabaran Where’s My Ball?, yang menyediakan hadiah menarik untuk dimenangi.

    Para peserta juga berpeluang memenangi pelbagai barangan bernilai menerusi cabutan bertuah, termasuk tiket penerbangan, peralatan golf, gajet elektronik dan aksesori eksklusif.

    Sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat, Lexus Brunei turut menyampaikan sumbangan berjumlah $10,000 kepada SMARTER Brunei dalam majlis penutup kejohanan tersebut.

    Sumbangan itu disampaikan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha bersama Pengarah Urusan NBT Brunei, Haji Ahmad Omar bin Haji Husin kepada Presiden SMARTER Brunei, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang.

    Sumbangan tersebut akan menyokong usaha berterusan SMARTER Brunei dalam menyediakan perkhidmatan, pendidikan dan sokongan kepada individu autistik serta keluarga mereka.

    Lexus Brunei merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pemilik Lexus yang menyertai kejohanan berprestij tersebut dan menyumbang kepada kejayaannya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda