PASIR SALAK, 7 FEB – Pada awalnya sekadar hobi, namun apabila arnab yang dibela mula membiak dan jumlah peliharaan semakin besar, tercetus ideanya untuk menjadikan haiwan itu sebagai sumber pendapatan.
Berkongsi kisah dengan Bernama, Muhamad Fadzilahtul Hanif Ahmad Razaain, 30, berkata beliau mula menjadi penternak, pembekal daging serta induk arnab pada 2019 selepas sepasang arnab yang dihadiahkan oleh bapa saudaranya membiak.
“Jumlah arnab yang semakin banyak membuatkan saya kematian akal buat seketika sebelum tercetus idea untuk menjual induk dan juga daging arnab,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Balun Bidai, di Perak baru-baru ini.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/1-arnab-5.jpg)
Menurut lulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ini, beliau mengusahakan ternakan arnab di depan rumah orang tuanya tanpa modal besar dan hanya menggunakan kayu terbuang untuk membina kurungan.
“Bagaimanapun saya bernasib baik memperoleh pinjaman sebanyak RM12,000 daripada sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri Perak dan dana itu saya gunakan untuk kembangkan perniagaan,” katanya lagi.
Dalam tempoh hampir enam tahun mengusahakan ternakan arnab dan mengikuti pelbagai kursus untuk meningkatkan pengetahuan, pemilik syarikat Saudagar Balun Bidai Enterprise ini mengakui beliau tidak menang tangan menguruskan permintaan yang datang dari seluruh negeri.
Menurutnya, pada satu-satu masa jumlah arnab boleh mencecah beratus ekor kerana haiwan itu cepat membiak dan membesar.
“Pada masa ini saya ada kira-kira 200 ekor yang sudah matang dan sedia untuk dijual. Sebenarnya daging arnab ini lebih sedap daripada ayam dan boleh dijadikan pelbagai jenis masakan seperti serunding, gulai, masak merah dan lain-lain, ” kata anak sulung daripada empat beradik itu.
Menurut usahawan itu lagi, penjagaan arnab juga tidaklah sukar sekiranya penternak tahu cara penjagaan yang betul, antaranya menggunakan air bersih sebagai air minum, makanan yang betul dan berkhasiat selain pencahayaan dan pengudaraan yang baik.
“Pada peringkat awal saya juga berdepan masalah kerana haiwan ini mudah mati akibat penyakit seperti kurap dan kutu selain mati terkejut apabila mendengar bunyi kuat termasuk bunyi petir,” katanya.
Mampu memperoleh pendapatan hingga RM3,000 sebulan, beliau berkata harga arnab bergantung pada jenis dan umur, bermula serendah RM30 hingga RM200 seekor.
“Permintaan pelanggan sentiasa ada dan adakalanya seperti ‘rezeki harimau’ apabila tidak putus-putus pelanggan datang membeli. Kadang-kadang pihak sekolah membawa pelajar datang ke sangkar arnab ini sekadar suka-suka dan saya tidak mengenakan sebarang bayaran kepada mereka.
“Ada juga pelanggan yang datang membeli daging arnab yang sudah siap disembelih di sini kerana dikatakan daging arnab ini ada khasiat merawat penyakit kanser,” katanya yang masih bujang.
Menurutnya najis arnab juga boleh dijadikan baja yang bagus untuk tanaman buah-buahan serta pokok bunga.
Tentang perancangan masa depan, beliau berhasrat mengembangkan perniagaannya hingga dapat memasarkan ternakan itu ke seluruh negara apabila modal yang dimiliki mencukupi. – Bernama