Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Hamilton bakal sertai Ferrari

    PARIS, 2 FEB – Juara dunia Formula Satu tujuh kali, Lewis Hamilton akan membuat pemindahan mengejut kepada Ferrari tahun depan, selepas Mercedes kelmarin mengumumkan bahawa beliau akan meninggalkan pasukan itu pada penghujung musim 2024.

    “Ini adalah masa yang sesuai untuk saya mengambil langkah ini dan saya berasa teruja untuk menyahut cabaran baharu,” kata Hamilton.

    Ferrari kemudiannya mengesahkan kedatangan warga Britain berusia 39 tahun itu, yang akan menjadi rakan sepasukan pemandu semasa mereka, Charles Leclerc.

    “Ferrari dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Lewis Hamilton akan menyertai pasukan pada 2025, dengan kontrak berbilang tahun,” kata pasukan Itali itu dalam satu kenyataan.

    Hamilton sebelum ini telah mengadakan perbincangan dengan Ferrari pada 2019 mengenai penyertaannya dengan pasukan itu. BBC melaporkan bahawa kakitangan pasukan Mercedes telah dipanggil untuk bertemu dengan bos Toto Wolff di ibu pejabat UK mereka kelmarin untuk diberitahu bahawa Hamilton akan meninggalkan pasukan itu pada penghujung musim 2024 dan menuju ke salah satu nama yang paling bersejarah dalam Formula Satu.

    “Lewis telah mengaktifkan opsyen pelepasan dalam kontrak yang diumumkan Ogos lalu dan musim ini akan menjadi musim terakhir beliau memandu untuk Silver Arrows,” kata Mercedes dalam satu kenyataan.

    Hamilton telah menandatangani kontrak dua tahun dengan Mercedes untuk musim 2024 dan 2025, tetapi perjanjian itu mengandungi klausa yang membenarkannya berhenti selepas satu musim.

    “Saya telah melalui 11 tahun yang menakjubkan bersama pasukan ini dan saya sangat berbangga dengan apa yang telah kami capai bersama,” kata Hamilton. – AFP

    Hamilton melihat jentera Ferrari yang dipandu oleh Kimi Raikkonen untuk Grand Prix Formula Satu China di Litar Antarabangsa Shanghai di Shanghai, China pada 11 April 2015. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...