Saturday, July 27, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Kaki besar di rumah usang

    Oleh S Ruji –

    Tahun 1952, aku masih belajar dalam darjah Satu waktu itu. Rumah di kawasan itu cuma beberapa buah sahaja.

    Rumah Ketua Kampung, Bu Isah, rumah kami, Pak Kadir, Pak Ludin, Nik Mudin dan Pak Radin serta sebuah rumah yang kami selalu lalui pada setiap waktu.

    Lebih kurang tujuh buah rumah sahaja yang berdekatan termasuk usang itu tadi. Pada waktu malam, di kampung kami selalu mengadakan acara berhantu (mengalai hantu/berubat kerana sakit dan sebagainya). Itu sahaja cara tradisi yang kerap dilakukan pada sesiapa yang sakit dan ingin berubat cara kampung.

    Aku baru sahaja berumur sembilan tahun. Sebab umur bersekolah waktu itu tidak kurang lapan tahun baru bersekolah.

    Jika tidak, ibu bapa tidak akan menyekolahkan anak mereka. Tidak seperti sekarang, umur tiga tahun pun sudah bersekolah tadika. Begitulah keadaan zaman sekarang, kita sudah tahu betapa besarnya ilmu pengetahuan itu kepada anak-anak sekarang ini.

    Gambar Freepik

    UPACARA BERMULA

    Malam itu malam Ahad, ibu mengajak aku pergi ke rumah orang sakit berubat secara berhantu ini.

    Memang pada waktu malam seperti ini jarang ibu akan meninggalkan aku seorang di rumah.

    Kadang-kadang ibu tidur di rumah tempat berubat kerana malam telah terlalu tua baru selesai majlis itu. Ayahku sudah meninggal sejak aku kecil lagi.

    Sebelum acara berhantu ini selasai, kami terlebih dahulu makan malam di rumah tersebut.

    Memang cara ini sudah menjadi tradisi. Selepas makan, semua jemputan seramai lebih kurang 50 orang, segala peralatan siap dikemaskan dan acara akan mula diadakan.

    Peralatan pun dipasang. Gong besar digantung, canang tiga juga dipasang dekat dinding.

    Dua gendang labik (dipanggil juga gendang perang) dan sebuah gendang lentung (seperti gendang mukun).

    Setelah selesai semuanya dipasang, pegendang pun mengambil tempat.

    Setelah semuanya bersedia dan Mak Dukun yang berhantu tadi kemas berpakaian dan menggunakan minyak wangi ‘cap Duyung’, Gendang pun dimulakan.

    Cukup seronok mendengar gendang itu beratu membuat satu bunyi yang indah dan memecah suasana malam.

    Si sakit merasa sesuatu yang indah pada malam itu. Sebab tahun itu tidak ada radio apatah lagi TV jauh sekali.

    Maka berjalanlah acara itu hingga jauh malam. Acara ini dipanggil merendam air bunga dan air mayang. Tujuh jenis bunga dan tujuh jenis air diambil untuk tujuan ini.

    Aku juga hampir-hampir lupa akan nama air itu. Tetapi aku masih dapat mengingati antaranya.

    Iaitu air tapak (tapak kaki), air atas kayu (air menakung di lubang kayu), air ulak (air berulak), air kelapa, air ombak (air ombak berkayuh atau motor) air ruang (air dalam perahu) dan yang satu lagi aku dah lupa.

    Semua air ini akan disatukan bersama mayang pinang muda, air bunga dan duri. Tiga jenis duri yang paling kurang digunakan ialah duri limau, duri balangan dan duri sum-sum.

    Kesemuanya akan bersatu dimasukkan ke dalam tajau.

    Air itu akan ditambah dengan air perigi dan dijampi secara berhantu oleh Bu Pawang ini tadi. Jadi selesailah acara berhantu menjampi air ini. Bermula jam 8 malam dan selesai pada jam 12 malam.

    Setelah selesai, ibu mengajak aku balik pada malam itu. Sebenarnya aku sendiri sudah berasa begitu mengantuk.

    Tetapi disebabkan ibu ada rancangan lain esok, maka kami terpaksa balik ke rumah.

    RUMAH USANG

    Walaupun sebenarnya ada yang menahan kami tetapi disebabkan alasan ibu terlalu munasabah, maka mereka melepaskan ibu pergi bersama aku balik ke rumah kami.

    Aku tidaklah mempunyai apa-apa perasaan, sama ada takut atau sebagainya.

    Kerana bukan sekali ini aku dan ibu balik jauh-jauh malam. Kerana perkara-perkara seperti ini sudah menjadi kebiasaan aku dan ibu. Sejak itu perasaan takut tiada wujud dalam perasaanku.

    Aku membawa lampu suluh dan kebetulan pula bulan mengambang cukup terang. Jadi lampu suluh yang ku bawa tidak begitu penting lagi.

    Kami turun dari rumah dan pergi ke rumah kami yang terpaksa melalui beberapa buah rumah termasuklah sebuah rumah usang yang sudah lama tiada berpenghuni.

    Sebenarnya rumah itu dulu ada orang tinggal di kampung kami ini, tetapi sejak suaminya meninggal dunia beberapa tahun kebelakangan ini, anak-anak sudah meninggalkan rumah itu dan ibunya sendiri ke Seria ikut anaknya yang bekerja di sebuah syarikat minyak waktu itu.

    Jadi rumah itu terbiar begitu. Tetapi tidak roboh, kerana tiangnya dibuat daripada kayu balian. Ramai juga orang mengatakan rumah itu berhantu.

    Tetapi aku dan ibu setiap waktu akan melintasi rumah itu. Tidak kira pagi, petang, malam semua itu sudah lali bagi kami.

    Pernah kami bersua dengan orang berpakaian putih keluar dari rumah dengan cara tergesa-gesa turun dari rumah melintasi kami dan terus naik ke udara entah ke mana.

    Tapi ibu tidak pernah takut. Entahlah apa ilmu ibu aku tidak tahu.

    Mendengar orang bercerita tentang rumah itu kerap kali kami terdengar tetapi ibu tidak pernah bercerita. Sebab itu orang di kampung kami tidak berani berjalan malam melalui tempat tersebut.

    MALAM LUAR BIASA

    Malam itu luar biasa bila aku dan ibu balik jam 12 tengah malam itu. Bulu tengkukku berdiri dan ibu beberapa kali menyapu muka dan menyapu tengkuknya. Mungkin juga ibu seperti aku.

    Ibu berdiri seketika di bawah tangga rumah yang kami turuni iní. Ibu menarik tanganku dan membaca ayat-ayat Al-Quran dan menyapu dimukaku beberapa kali.

    Aku dan ibu mula berjalan dan aku bercerita pada ibu tentang esok mereka akan mandi air bunga yang disatukan itu.

    Ibu tidak begitu melayan percakapanku. Aku bertanya pada ibuku mengapa mesti ada tujuh air itu.

    Ibu jawab itu satu syarat untuk memenuhi kehendak mandi berhantu. Esoknya apalagi acaranya, tanyaku pada ibu. Esok mandi dan menghantar santap makan.

    Kata ibu, aku tidak faham seperti sekarang perkataan itu. Apa ertinya. Aku diam sahaja. Sebab ibu malas benar melayan aku bercerita sambil berjalan.

    Tiba-tiba ibu berhenti berjalan, apabila hampir melintasi rumah usang itu. Aku jalan terus sebab aku tiada berasa sesuatu.

    Bila aku toleh ke belakang ibu jauh di belakangku. Aku jadi hairanlah kenapa ibu berhenti.

    Aku bersuara pada ibu dengan rasa hairan. Berkali-kali soalanku pada ibu mengapa berhenti. Ibuku menyebut ‘Subhanallah’ sambil mulutnya mambaca Ayat Kursi. Ibu dengan berani menunjuk sesuatu.

    Aku hampir-hampir rebah melihat lembaga yang begitu besar di depan rumah usang itu. Kakinya di atas bumbung pada kaki sebelah kanan dan sebelah kiri berpijak di atas tanah.

    Keadaan serba salah, mahu teruskan balik ke rumah kami atau berpatah balik ke rumah Bu Dukun tadi. Aku masih teringat mereka melarang kami ke rumah, tapi ibu tetap balik ke rumah kami.

    Kangkang kakinya lebih tinggi lagi dari bumbung rumah tersebut, yang di atas sekali tiada dapat kulihat. Kerana semuanya terlindung oleh kaki yang amat besar itu.

    Aku tidak dapat mengagak betapa besarnya kaki itu. Aku dan ibu menyorok di bawah kangkang kaki yang besar itu dan berlari-lari anak menuju ke rumah kami.

    Sampai di rumah, ibu tidak banyak cakap, dia hanya menyalakan api di dapur dan melontar api itu ke tanah.

    Ketika ibu melakukan itu, angin bertiup kencang di kawasan rumah usang itu menyebabkan bumbung rumah itu terbang ke tepi sungai. Aku tidur atas arahan ibu dan aku tidak tahu apa terjadi selepas itu. Apabila aku bangun pagi, ibu terlantar kerana pening kepala.

    Setelah aku selesai mandi dan sarapan pagi. Ibu mengarahkan aku memanggil Bu Isah untuk menjampi ibu sebab ibu rupa-rupanya sakit pada malam itu hingga pagi. Bila Bu Isah sampai di rumah, ibu disapanya. Ibu bercerita tentang pengalaman kami pada malam semalam itu.

    Bu Isah menyatakan sebab itu mereka melarang ibu dan aku balik ke rumah dan semua mereka pun bermalam di tempat orang berhantu itu semalam. Ibu tidaklah membantah perkataan Bu Isah itu, dia faham dia yang bersalah.

    Bu Isah pun menjampikan pada ibu entah apa ceritanya aku tidak tahu. Bu Isah hanya minta air sejuk kepadaku dan menjampi untuk ibu. Bila tengah hari, ibu pun bangun dan mandi di perigi.

    Ibu kelihatan mula memasak dan makan bersamaku setelah semuanya selesai. Ibu kelihatan sihat setelah dijampi oleh Bu Isah itu.Ibu kelihatan segar dan bersemangat lagi.

    Ibu jarang menyesal apa sahaja yang telah berlaku. Semangat ibu kental dan berani.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Taufan Gaemi paksa 300,000 orang pindah di timur China

    BEIJING, 26 JULAI – Pihak berkuasa di China telah memindahkan hampir 300,000 penduduk dan menghentikan operasi pengangkutan awam di seluruh kawasan timur negara itu...