Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hampir 90 juta penduduk AS diancam ribut

    LOS ANGELES, 4 JULAI – Hampir 90 juta orang penduduk Amerika Syarikat (AS) berdepan ancaman ribut kuat menjelang cuti Keempat Julai (July Fourth), dengan potensi tiupan angin mengakibatkan kerosakan, bekalan elektrik terputus, hujan batu dan kemungkinan puting beliung.

    Ribut petir kuat hingga teruk dan kluster ribut petir mungkin berkembang di seluruh Wilayah Atlantik Tengah dan bahagian utara Great Plains pada Isnin hingga Isnin malam, menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS, lapor Xinhua.

    Peluang ribut teruk semakin meningkat di kawasan itu, perkhidmatan cuaca memberi amaran.

    Cuaca buruk telah melanda beberapa bahagian Amerika Syarikat pada hujung minggu, antaranya Missouri, Ohio, Kentucky, Illinois dan Iowa.

    Keadaan itu menimbulkan kesukaran buat rakyat Amerika yang merancang untuk melakukan perjalanan sempena cuti Hari Kemerdekaan kerana banyak penerbangan ditangguhkan atau dibatalkan.

    Terdapat juga lebih 214,000 rumah dan premis perniagaan di seluruh wilayah Timur AS tanpa bekalan elektrik awal pagi Isnin, termasuk lebih 55,000 di Missouri, menurut Poweroutage.us.

    Sementara itu, Perkhidmatan Cuaca juga memberi amaran kepada pengunjung pantai supaya peka terhadap bahaya arus dan bahaya pantai lain menjelang cuti Hari Kemerdekaan pada Selasa.

    Sebanyak 55 kes lemas telah berlaku tahun ini akibat arus kuat sehingga 25 Jun, menurut perkhidmatan cuaca.

    Pakar mencadangkan pengunjung di kawasan pantai agar memberi perhatian kepada bendera amaran dan ramalan pantai selain tidak panik jika mendapati diri mereka terperangkap dalam arus. – Bernama

    Gambar hiasan. – Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda