Sunday, October 20, 2024
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hamster kena COVID-19, HK matikan 2,000 haiwan kecil

    HONG KONG, 18 JAN – Pihak berkuasa Hong Kong hari ini mengatakan mereka akan mematikan sejumlah 2,000 haiwan kecil, termasuk hamster selepas beberapa ekor daripadanya dikesan positif virus COVID-19 di sebuah kedai haiwan di mana pekerjanya dijangkiti virus itu.

    Bandar raya itu juga menghentikan penjualan hamster dan import haiwan kecil, menurut pegawai dari Jabatan Agrikultur, Perikanan dan Pemuliharaan. Langkah itu dibuat selepas pekerja kedai haiwan diuji positi varian Delta pada Isnin. Beberapa ekor hamster diimport dari Belanda di kedai sama juga diuji positif virus itu.

    “Jika awda memiliki hamster, pastikan ia berada di rumah, jangan bawa keluar,” kata pengarah jabatan, Leung Siu-fai pada satu sidang media.

    “Semua pemilik haiwan peliharaan perlu mengamalkan kebersihan dan selepas menyentuh haiwan dan makanannya, bersih tangan awda. Jangan cium haiwan peliharaan awda,” tambahnya.

    Meskipun pihak berkuasa mengakui bahawa belum ‘ada bukti’ bahawa haiwan peliharaan boleh menjangkitkan koronavirus kepada manusia, sebagai langkah berwaspada, pelanggan yang membeli hamster dari kedai terbabit selepas 7 Januari akan dikesan dan tertakluk kepada kuarantin mandatori.

    Mereka juga perlu menyerahkan hamster kepada pihak berkuasa untuk dimatikan.

    Pihak berkuasa mengatakan semua kedai haiwan peliharaan menjual hamster di Hong Kong mesti menghentikan operasi dan sekitar 2,000 haiwan kecil termasuk hamster dan chinchilla akan dimatikan secara berperikemanusiaan. – AFP

    Hamster dijual di kedai binatang positif virus COVID-19 di Hong Kong.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda