Wednesday, February 5, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Happy sampaikan mesej kepada belia

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 APRIL – Dengan matlamat untuk menyebarluaskan maklumat mengenai kehamilan remaja dan penyakit jangkitan hubungan kelamin (STI), Majlis AIDS Brunei Darussalam (BDAC) telah mengadakan Program Kesedaran, HIV
    Awareness Programme for Peers and Youth (HAPPY) yang berlangsung di Sekolah St James, Kuala Belait, kelmarin.

    Program yang dihadiri oleh seramai 60 orang pelajar berkenaan mengetengahkan taklimat yang disampaikan oleh Ketua Program HAPPY, Dayang Kailene binti Kashfi.

    Program yang berlangsung selama dua jam itu menggunakan kaedah audio dan visual serta beberapa aktiviti interaktif untuk menarik minat para pelajar supaya berinteraksi mengenai isu-isu yang dibangkitkan.

    Ia merupakan cara yang paling berkesan untuk menyampaikan mesej kepada golongan muda dan yakin ia boleh diadaptasikan ke dalam konteks Negara Brunei Darussalam.

    Menurut BDAC, setakat ini, iaitu dari Januari hingga April 2021, sebanyak 11 sesi program HAPPY telah dilaksanakan di tujuh buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Awam Semaun, Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali, Institut Sains Kesihatan, Sekolah Menengah Berakas, Pusat Tingkatan Enam Meragang, Sekolah Menengah Chung Ching dan Sekolah Menengah St James.

    BDAC menyasarkan program HAPPY akan dapat dilaksanakan di 25 buah sekolah dengan anggaran 3000 orang peserta menyertai program tersebut di sepanjang 2021.

    Dengan adanya program seperti ini, ia dapat membantu mengurangkan kadar kehamilan remaja dan jangkitan penyakit hubungan kelamin dalam kalangan belia dan sekali gus dapat membendung isu-isu sosial yang menyumbang kepada peningkatan kes di negara kita.

    Antara pelajar yang menghadiri Program HAPPY yang dijalankan oleh Majlis AIDS Brunei Darussalam di Sekolah St James, Kuala Belait, kelmarin. – Gambar serahan BDAC
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda