Oleh Nurdiyanah R.
TUTONG, 2 DIS – Bagi menandakan penghujung tahun akademik 2019 sekali gus demi menghargai perjuangan para pelajar dalam menimba ilmu pengetahuan, Sekolah Rendah Pengiran Dipa Negara Pengiran Jaya Sengkarai, Daerah Tutong telah mengadakan Majlis Graduasi dan Penyampaian Hadiah Pelajar Terbaik 2019 yang berlangsung di dewan sekolah berkenaan, baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan hadiah kecemerlangan akademik dan sijil graduasi bagi Pra, Tahun 1 hingga 6 termasuklah beberapa murid SENA ialah Pemangku Ketua Kampung Sengkarai, Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan yang telah dialu-alukan oleh guru besar sekolah tersebut, Dayang Rosimah binti Haji Mohamad.
Turut mengadakan majlis seumpamanya adalah Sekolah Nurul Falah Daerah Tutong dengan Majlis Konvokesyen kali ke-7 dan Penyampaian Hadiah Pelajar Terbaik Tahun 2019 berlangsung di Dewan Serbaguna Serambangun, Daerah Tutong.
Majlis juga dihadiri oleh Awang Abdul Aziz selaku tetamu kehormat majlis.
Guru besar sekolah berkenaan, Hajah Nur Fadhilah binti Haji Abu Bakar semasa menyampaikan ucapan alu-aluan menjelaskan bahawa matlamat utama majlis tahunan berkenaan adalah untuk memberikan penghargaan dan menaikkan semangat pelajar-pelajar agar terus berjuang untuk meraih kecemerlangan pada masa akan datang.

