KATHMANDU, 23 APRIL – Tinjauan nasional pertama Nepal terhadap harimau bintang salji yang terancam telah menganggarkan hampir 400 ekor spesies besar yang sukar dikesan itu di negara Himalaya tersebut, menurut pegawai hidupan liar kelmarin.
Kehilangan habitat, perubahan iklim dan pemburuan haram telah memberi kesan besar terhadap populasi harimau bintang salji di seluruh Asia, yang disenaraikan sebagai spesies terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).
Namun begitu, tinjauan tersebut telah memberikan sinar harapan apabila mengesahkan jumlah populasi berada di julat tinggi berbanding anggaran sebelumnya.
Dengan bulu kelabu tebal bertompok gelap serta tapak kaki besar yang berfungsi sebagai kasut salji semula jadi, harimau bintang salji sukar dikesan dan cepat bersembunyi, menjadikan penyelidikan lapangan satu cabaran.
“Ini adalah langkah bersejarah dalam perjalanan pemuliharaan harimau bintang salji Nepal,” kata Haribhadra Acharya, ahli ekologi kanan di Jabatan Taman Negara dan Pemuliharaan Hidupan Liar, kepada AFP.

“Ini adalah kali pertama kami memperoleh data yang sah hasil usaha gigih para penyelidik,” tambahnya.
Sebanyak 397 ekor harimau bintang salji telah dianggarkan melalui analisis kamera pengesan pergerakan dan ujian genetik di tujuh kawasan utama.
Ia merupakan anggaran nasional paling komprehensif bagi harimau bintang salji – juga dikenali sebagai ‘hantu gunung’ – yang sebelum ini dianggarkan oleh IUCN dalam lingkungan 301 hingga 400 ekor.
Harimau bintang salji adalah spesies ku-cing besar yang paling kurang dikaji di dunia disebabkan kepadatan populasi yang rendah serta habitat pergunungan yang terpencil.
“Nepal hanya mempunyai dua peratus daripada saiz habitat harimau bintang salji di seluruh dunia, namun kami menempatkan 10 peratus daripada jumlah populasi yang dianggarkan,” kata Ghana S Gurung, wakil negara WWF Nepal, kepada AFP.
“Kami adalah negara kedua terkecil dari segi saiz habitat harimau bintang salji selepas Bhutan, namun kami mempunyai populasi keempat terbesar,” tambahnya. – AFP