Sunday, May 19, 2024
23.2 C
Brunei

    -

    Hasilkan kepimpinan berkualiti, cemerlang

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MEI – Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan, Pegawai-pegawai Pengurusan Pertengahan dan Pegawai-pegawai Eksekutif Muda merupakan program kepimpinan yang diamanahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya pelaksanaannya sentiasa menepati keperluan dan mengikut standard peredaran global agar dapat mencapai hasrat kerajaan dengan menghasilkan kepimpinan yang dinamik, berkualiti dan cemerlang.

    Dengan adanya program berkenaan, pegawai-pegawai yang berpotensi menjadi pemimpin akan terus digilap menjadi permata berharga yang berkonsepkan 3P iaitu penghulu, pembimbing dan pengemudi.

    Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Dr Norfarizal bin Othman dalam ucapan alu-aluannya pada Majlis Penyampaian Sijil bagi Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO) ke-30, Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) ke-33 dan ke-34 serta Program Eksekutif Muda (YEP) Kohort-7 dan Kohort-8, Tahun 2023 yang berlangsung di Dewan Bankuet, Jabatan Perdana Menteri (JPM), kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta program ialah Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd
    Yussof.

    Turut hadir ialah timbalan-timbalan menteri di JPM, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, setiausaha tetap-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap serta ketua-ketua jabatan yang berkenaan.

    ATAS & BAWAH: Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi menyampaikan sijil kepada penerima. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bergambar ramai bersama antara pegawai yang menerima sijil pada majlis itu. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Dalam ucapan alu-aluannya lagi, Dr Norfarizal menerangkan mengenai konsep 3P di mana penghulu bermaksud sebagai ketua, dan kepala bagi jabatan, organisasi mahupun dalam masyarakat yang mempunyai tanggungjawab yang berat untuk dipikul dengan amanah dan kejujuran.

    Sebagai pembimbing iaitu sentiasa ikhlas untuk memberi, mengajar dan mengongsikan ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada anak-anak buah di pejabat atau di luar bidang kerja.

    Sementara itu, selaku pengemudi untuk memastikan amanah memimpin dan yang dipimpin mencapai matlamat organisasi tanpa leka atau tersasar daripada hala tuju yang dihasratkan.

    Pada majlis berkenaan, seramai 27 orang peserta EDPSGO-30, 28 orang peserta EDPMMO-33, 28 orang peserta EDPMMO-34, 28 orang peserta YEP-7 serta 29 orang peserta YEP-8 telah menerima sijil yang disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin.

    Program-program pembangunan eksekutif berkenaan merupakan program flagship Civil Service Leadership Pipeline (CSLP) di bawah Rangka Kerja Perkhidmatan Awam yang diwujudkan bagi mendukung hasrat Wawasan Brunei 2035 melalui Strategi Pembangunan Institusi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 maut dalam banjir kilat di Iran

    TEHRAN, 17 Mei – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam banjir kilat susulan hujan lebat di bandar Mashhad di timur laut Iran, lapor agensi berita...