Friday, October 4, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hengyi, institusi kewangan meterai perjanjian bernilai AS$263J

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OGOS – Hengyi Industries Sdn Bhd (Hengyi Industries) telah menandatangani Perjanjian Pembiayaan Bertempoh Bersindiket Islam bernilai AS$263 juta dengan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Bank Baiduri dan Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), yang menandakan permulaan kerjasama baharu antara Hengyi Industries dan institusi kewangan tempatan.

    Ketua Pegawai Eksekutif Hengyi Industries, Chen Lian Cai; Lembaga Pengarah BIBD, Awang Junaidi bin Masri; Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Hajah Noraini binti Haji Sulaiman; Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui dan Pemangku Pengarah Urusan TAIB, Awang Edzwan Zukri bin Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan hadir selaku tetamu-tetamu kehormat pada majlis penandatanganan di The Empire Brunei.

    Chen Lian Cai dalam ucapan alu-aluannya menekankan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa sambutan ulang tahun hari keputeraan Baginda ke-76 untuk memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi negara ke arah mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.

    “Kerjasama pembiayaan dengan BIBD, Baiduri dan Perbadanan TAIB ini selaras dengan inisiatif Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan juga melambangkan komitmen dan sokongan padu oleh institusi kewangan tempatan,” ujarnya.

    Beliau seterusnya berkata bahawa ia juga telah menunjukkan komitmen dan usaha Hengyi dalam menyokong pembangunan sektor kewangan tempatan.

    Dari kiri: Awang Edzwan Zukri, Hajah Noraini, Chen Lian Cai dan Ti Eng Hui semasa menandatangani Perjanjian Pembiayaan Bertempoh Bersindiket Islam pada majlis penandatanganan di The Empire Brunei.

    “Hengyi akan terus berusaha ke arah aspirasi kami untuk menjadi loji petrokimia terkemuka di rantau ini,” tambah Chen Lian Cai (gambar atas), sambil melahirkan harapan agar BIBD, Baiduri dan Perbadanan TAIB akan terus menyokong dan membantu Hengyi berkembang dan mampan.

    Acara telah diteruskan dengan ucapan Hajah Noraini yang menekankan kepentingan kerjasama dalam menghimpunkan pemain terkemuka dalam sektor kewangan tempatan dan menandakan satu peristiwa penting dalam hubungan yang semakin meningkat antara institusi kewangan dan pelanggan serta rakan kongsi mereka, Hengyi Industries.

    “Walaupun kemelesetan ekonomi global akibat COVID-19 dan faktor-faktor luaran lain, Alhamdulillah, subsektor hiliran terus memacu pertumbuhan ekonomi Brunei berhubung KDNKnya,” kata Hajah Noraini.

    Menurut beliau, perjanjian berkenaan menandakan komitmen bersama mereka dan sokongan berterusan kepada syarikat pelaburan langsung asing (FDI) sebagai pemacu ekonomi dan penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi keseluruhan negara, dan ia akan menjadi kerjasama dan sumbangan terbesar kepada FDI oleh institusi kewangan tempatan setakat ini.

    Acara kemudiannya menyaksikan pemeteraian perjanjian dengan Chen Lian Cai menandatangani bagi pihak Hengyi Industries, manakala Hajah Noraini, Ti Eng Hui dan Awang Edzwan Zukri menandatangani bagi pihak bank masing-masing.

    Ia diakhiri dengan bergambar ramai dan penyampaian tanda penghargaan kepada BIBD, Bank Baiduri dan Perbadanan TAIB.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda