Sunday, October 6, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hospital AS kekurangan bekalan cecair IV selepas dilanda Taufan Helene

    SACRAMENTO, 6 OKT – Hospital di seluruh Amerika Syarikat (AS) kini berdepan dengan kekurangan bekalan cecair intravena (IV) yang serius selepas Taufan Helene menyebabkan kerosakan besar di kilang utama pengeluar cecair IV di North Carolina.

    Kilang Baxter International di North Cove, yang merupakan pembekal utama cecair IV kepada hospital-hospital di seluruh negara, masih belum dapat beroperasi selepas dilanda banjir besar akibat taufan itu, menurut laporan CBS News.

    Selain kerosakan kilang, jambatan-jambatan yang menghubungkan kemudahan tersebut turut rosak teruk, menyukarkan usaha membaik pulih dan pemulihan operasi.

    Kilang di North Cove ini menyumbang kira-kira 60 peratus daripada bekalan cecair IV yang digunakan di Amerika Syarikat. Menurut Persatuan Hospital California, banyak hospital hanya menerima kira-kira 40 peratus daripada bekalan biasa daripada Baxter.

    Bagi menangani masalah kekurangan itu, beberapa sistem penjagaan kesihatan di negara itu sedang melaksanakan langkah penjimatan bekalan cecair IV dan sedang mencari alternatif untuk penghidratan. Beberapa pengeluar lain seperti B Braun dan ICU Medical turut meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

    Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) dilaporkan sedang bekerjasama dengan Baxter untuk mencari jalan penyelesaian, termasuk mempertimbangkan langkah mengimport cecair IV dari luar negara secara sementara bagi menampung kekurangan tersebut. – Xinhua

    GAMBAR FREEPIK
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda