Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Risiko wujud di kebanyakan tempat kerja, potensi untuk menyebabkan kecederaan dan bahaya kepada seseorang adalah satu kenyataan yang kerap dihadapi.
Tambahan lagi, kesan kesihatan pekerjaan boleh mengancam nyawa dalam jangka masa panjang sekiranya masalah tidak ditangani tepat pada waktunya.
“Kita mesti mencegah kemalangan dan bahaya kepada orang lain, dan untuk melakukannya, kita mesti mengenal pasti bahaya dan berusaha untuk mengurus dan mengawal risiko serta menerapkan proses yang baik dan amalan industri yang baik bagi memastikan keselamatan dan kesihatan tenaga kerja pada setiap masa.”
Perkara berkenaan ditekankan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Tenaga, Haji Azhar bin Haji Yahya yang juga selaku ketua pegawai eksekutif interim Autoriti Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kebangsaan (SHENA) semasa forum perniagaan mengenai kesihatan, keselamatan dan alam sekitar (HSE) bertajuk Resilience is Being Prepared, the SHENA Story, yang diadakan di Hotel Radisson, hari ini.
Beliau seterusnya berkata, “Ketika dunia terus berdepan normal baharu disebabkan pandemik COVID-19, kita di Brunei juga menghadapi dan membuat perubahan yang diperlukan untuk melindungi diri sendiri, orang yang disayangi dan yang terkena impak daripada usaha kita.
“Hari ini, kita adalah antara yang bernasib baik kerana dapat beroperasi dengan sekatan minimum, semuanya berkat usaha Kementerian Kesihatan dan semua barisan hadapan kita daripada pelbagai kementerian dan organisasi yang terlibat untuk membantu proses tersebut.
“Ini pada dasarnya bermaksud, bahawa kita adalah masyarakat yang bekerjasama untuk melindungi diri kita dan orang-orang di sekitar kita dengan mewujudkan amalan selamat yang memastikan hasil positif dan mencegah potensi penyebaran virus,” jelas Haji Azhar.
Beliau kemudiannya mengingatkan agar HSE tetap menjadi keutamaan dan pertimbangan yang sangat penting dalam kehidupan kerja, dan seharusnya menjadi fabrik asas di mana negara ini terus membangun masa depannya.
Menurutnya, dengan memberikan standard kesedaran HSE yang lebih tinggi di semua tempat kerja dan mempromosikan amalan HSE yang baik, kita membuat masa depan yang kuat dan dihargai, di mana generasi akan datang dapat berdikari dan mengenal pasti penyelesaian mampan mengikut kepatuhan dengan amalan baik dalam komuniti yang terkenal kerana memelihara dan menghargai kehidupan.
“Kita mesti mencegah kemalangan dan mencegah bahaya kepada orang lain. Kita mesti berusaha untuk mengurus risiko dan menerapkan prinsip dan proses yang betul bagi memastikan persekitaran yang lebih selamat setiap masa,” ujarnya.
Beliau menekankan bahawa dengan mempromosikan amalan dan tingkah laku kerja yang baik, seseorang itu menjadi duta di tempat kerja untuk HSE, menyampaikan mesej yang tepat dan mewujudkan persekitaran yang positif, selamat dan memastikan tidak ada bahaya bagi orang.
Menurutnya lagi, ia adalah tentang menanamkan budaya positif yang dapat dikembangkan sebagai masyarakat dan menyebarkan mesej untuk diikuti oleh orang lain.
“Dengan mengenal pasti jurang dan berusaha menuju peningkatan berterusan, bersama-sama kita dapat menghasilkan hari esok yang lebih selamat,” kata beliau.