Huawei pernah mengumumkan sasaran mereka untuk memintas Samsung sekali gus menjadi jenama telefon pintar nombor satu dunia menjelang tahun 2020.
Pada tahun lalu, jenama ini telah mencatatkan perkembangan jualan sehingga 33.6 peratus berbanding tahun 2017 sedangkan Samsung dan Apple masing-masing mencatatkan penurunan dari segi pengeluaran. Sasaran terkini Huawei terganggu sejak dihalang daripada berurusan dengan syarikat dari AS selepas dimasukkan ke dalam senarai entiti.
Sasaran Huawei boleh dicapai
Ketua Pegawai Eksekutif Huawei, Ren Zhengfei dalam temu ramah bersama CNN berkata bahawa dia masih mempercayai sasaran Huawei ini masih boleh dicapai walaupun tanpa bantuan daripada Google. Perbezaannya sekarang ialah ia akan mengambil masa yang lama sehingga beberapa tahun iaitu lebih lama berbanding sasaran awal.
Selepas dilarang dari berurusan dengan Google, peranti Huawei seperti Mate 30 Pro tidak lagi hadir dengan sokongan rasmi GMS. Sebaliknya pengguna perlu memuat turun aplikasi menerusi App Gallery yang menggunakan sistem HMS mereka sendiri. – Agensi
