MANILA, 1 MAC – Sistem amaran yang rosak, kemiskinan dan penebangan hutan di pergunungan di selatan Filipina menjadikan hujan lebat di luar musim baru-baru ini sebagai bencana yang membawa maut, kata saintis dalam satu laporan hari ini.
Lebih 100 orang terbunuh dalam tanah runtuh dan banjir pada Januari dan Februari di pulau kedua terbesar negara itu, Mindanao, apabila monsun timur laut dan lembah tekanan rendah membawa hujan lebat. Kajian oleh kumpulan World Weather Attribution mendapati hujan yang luar biasa lebat di timur Mindanao tidaklah ‘terlalu ekstrem’.
Tetapi dengan orang ramai yang tinggal di kawasan yang terdedah kepada tanah runtuh dan kekurangan amaran cuaca, hujan itu boleh ‘memusnahkan’.
“Kita tidak boleh hanya menyalahkan hujan atas kesan-kesan yang teruk,” kata Richard Ybanez, ketua pakar penyelidikan sains di Institut Ketahanan Universiti Filipina. “Pelbagai faktor manusia menyebabkan hujan lebat ini menjadi bencana yang membawa maut.”
Dalam insiden paling maut, lebih 90 orang terbunuh apabila lereng gunung runtuh dan menghempap sebuah perkampungan perlombongan emas pada 6 Februari, menimbus bas dan rumah.
Walaupun perubahan iklim berkemungkinan besar menjadi salah satu pendorong hujan lebat, laporan itu berkata saintis tidak dapat mengukur kesannya kerana kekurangan data yang ada.
“Namun, kami telah mengesan trend yang kukuh dalam data sejarah – berbanding iklim pra-industri, tempoh lima hari hujan paling lebat kini turun kira-kira 50 peratus lebih banyak di pulau Mindanao pada tempoh Disember hingga Februari,” kata Mariam Zachariah dari Institut Grantham di Imperial College London.
Para saintis mendapati bahawa kadar kemiskinan yang lebih tinggi daripada purata di kawasan pergunungan telah menyebabkan orang ramai terdedah kepada kesan-kesan hujan lebat, manakala ‘penebangan hutan yang lebih intensif’ telah meningkatkan risiko tanah runtuh. – AFP