(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Bacaan Surah al-Fatihah adalah salah satu daripada rukun sembahyang. Jika bacaan Surah Al-Fatihah dalam sembahyang ini ditinggalkan dan tidak kembali semula untuk membacanya maka tidaklah sah sembahyang seseorang itu.
Namun dalam perkara ini, mungkin ada yang beranggapan bahawa makmum yang tertinggal bacaan surah Al-Fatihah dalam sembahyang berjemaah tidak membatalkan sembahyang.
Ini kerana pada anggapan mereka bacaan surah al-Fatihah yang tertinggal itu ditanggung oleh bacaan imam sedangkan makmum tersebut wajib membaca surah al-Fatihah itu.
Jika anggapannya bacaan surah al-Fatihah ditanggung oleh imam ini berlaku kepada makmum yang wajib membaca surah al-Fatihah sehingga meninggalkan bacaan surah al-Fatihah itu untuk mengikut perbuatan imam, maka bukan sahaja anggapan itu salah malah membuatkan sembahyangnya itu tidak sah kerana dia meninggalkan rukun sembahyang iaitu membaca surah al-Fatihah.
Dalam menentukan kedudukan hukum bacaan surah al-Fatihah bagi makmum yang sembahyang berjemaah itu adalah dilihat kepada bagaimana keadaan makmum itu.

Ini amat penting diketahui untuk memastikan sama ada makmum perlu membaca surah al-Fatihah atau menyempurnakan bacaan surah al-Fatihah ataupun tidak.
Keadaan makmum dalam sembahyang berjemaah terbahagi kepada dua, iaitu makmum muafiq dan makmum masbuq.
Makmum muafiq itu ialah makmum yang sempat bersama imam masa yang cukup untuk membaca surah al-Fatihah dengan kadar bacaan yang sederhana.
Sementara makmum masbuq itu pula ialah makmum yang tidak sempat bersama imam masa yang cukup untuk membaca surah al-Fatihah dengan kadar bacaan yang sederhana.
Membaca surah al-Fatihah bagi kedua-dua keadaan makmum ini mempunyai hukum yang berbeza mengikut keadaan masing-masing.
Ada yang wajib menyempurnakan bacaan surah al-Fatihah walaupun makmum itu tertinggal oleh imam dan ada juga yang tidak diwajibkan membaca surah al-Fatihah dan terus mengikut pergerakan imam.
Bacaan surah al-Fatihah bagi makmum muafiq
Makmum muafiq wajib menyempurnakan bacaan surah al-Fatihah walaupun dia tertinggal oleh imam sama ada disebabkan keuzuran ataupun tidak. Untuk jelasnya dihuraikan seperti berikut:
Makmum muafiq tertinggal oleh imam bukan kerana keuzuran.
Jika makmum muafiq yang tertinggal oleh imam bukan kerana keuzuran seperti makmum sengaja melambat-lambatkan bacaan surah al-Fatihah maka wajib dia menyempurnakan bacaan surah al-Fatihah asalkan dia tidak tertinggal oleh imam dua rukun fi‘li, sama ada rukun fi‘li yang panjang (Rukun fi‘li yang panjang itu ialah berdiri (qiyam), rukuk, sujud dan duduk tasyahhud akhir) atau rukun fi‘li yang pendek (Rukun fi‘li yang pendek ialah i‘tidal dan duduk antara dua sujud).
Jika makmum tertinggal oleh imam dua rukun fi‘li dengan sengaja maka batallah sembahyang makmum itu.
Sebagai contoh makmum lambat pada satu rukun fi‘li yang panjang dan satu rukun fi‘li yang pendek, makmum masih berdiri membaca surah al-Fatihah sedang imam sudah mula melakukan sujud pertama.
Maka dalam hal ini makmum tertinggal mengikut imam pada ruku‘ dan i‘tidal.
Makmum muafiq yang tertinggal oleh imam disebabkan keuzuran. Jika makmum muafiq yang tertinggal oleh imam disebabkan keuzuran seperti lambat membaca surah al-Fatihah kerana kurang lancar, atau imam terlalu cepat membacanya, maka dia hendaklah menyempurnakan juga bacaan surah al-Fatihah asalkan dia tidak tertinggal oleh imam tiga rukun fi‘li yang panjang.
Jika makmum muafiq itu terlambat mengikut imam sehingga tiga rukun fi‘li yang panjang maka hendaklah dia terus mengikut perbuatan sembahyang imam dan setelah imam selesai memberi salam hendaklah dia berdiri lagi bagi mengganti rakaat yang dia terlambat itu.
Sebagai contoh makmum masih berdiri pada rakaat pertama membaca surah al-Fatihah kerana bacaannya kurang lancar sedang imam sudah mula berdiri pada rakaat kedua, makmum terlambat pada rukun yang panjang iaitu ruku‘, sujud pertama dan sujud kedua.
Maka dalam hal ini, tidaklah perlu makmum menyempurnakan bacaan surah al-Fatihah dan rukun yang tertinggal itu bahkan hendaklah dia terus mengikut imam yang sedang berdiri pada rakaat kedua. Setelah imam selesai memberi salam, makmum hendaklah bangkit semula bagi menggantikan rakaat yang dia terlambat itu.
Bacaan surah al-Fatihah Bagi makmum masbuq
Makmum masbuq dikira menyempati rakaat imam apabila makmum tersebut sempat melakukan rukuk serta thuma’ninah bersama imam.
Jika makmum masbuq tidak sempat rukuk serta thuma’ninah bersama imam, maka dia tidak dikira menyempati rakaat imam dan hendaklah makmum itu berdiri untuk mengganti rakaat yang tidak dikira itu setelah imam memberi salam.
Dalam perkara ini adakah makmum masbuq tersebut perlu menyempurnakan bacaan surah al-Fatihah ataupun tidak. Oleh itu dihuraikan beberapa keadaan makmum masbuq seperti berikut:
Makmum masbuq baru memulakan sembahyang sedang imam hampir melakukan rukuk. Dalam keadaan ini, makmum tersebut disunatkan tidak membaca perkara-perkara sunat selepas takbiratulihram iaitu doa al-iftitah dan at-ta‘awwudz bahkan dia terus sahaja membaca surah al-Fatihah selepas takbiratulihram melainkan jika dia menyangka dapat menyempati imam apabila dia membaca perkara sunat itu.
Jika imam itu mula melakukan rukuk, maka hendaklah makmum masbuq itu memutuskan bacaan surah al-Fatihah dan terus mengikut imam melakukan rukuk.
Adapun jika makmum itu meneruskan juga bacaan surah al-Fatihah sehingga imam mula bangkit melakukan i‘tidal maka tidaklah dikira dia menyempati rakaat imam malah menjadi batal sembahyangnya jika imam mula melakukan sujud kerana terlambat mengikut imam pada dua rukun fi‘li.
Jika makmum masbuq itu tidak sempat membaca surah al-Fatihah kerana membaca doa al-iftitah atau at-ta‘awwudz selepas takbiratulihram sedang imam mula melakukan rukuk maka hendaklah dia membaca surah al-Fatihah sekadar banyak huruf doa al-iftitah atau at-ta‘awwudz yang telah dibacanya.
Setelah dia membaca kadar surah al-Fatihah yang wajib itu baharulah dia melakukan rukuk bersama imam.
Jika makmum tersebut tidak membaca surah al-Fatihah sekadar banyak huruf doa al-iftitah atau at-ta‘awwudz yang telah dibacanya dan dia terus sahaja melakukan rukuk bersama imam, maka tidaklah sah sembahyang makmum itu kerana tertinggal kadar bacaan surah al-Fatihah yang wajib.
Imam mula melakukan rukuk sedangkan makmum baru hendak memulakan sembahyang. Dalam keadaan ini, makmum hendaklah mengangkat takbiratulihram tanpa membaca surah al-Fatihah. Kemudian bertakbir sekali lagi untuk melakukan rukuk bersama imam.
Jika makmum tersebut sempat melakukan rukuk dan thuma’ninah bersama imam maka dikiralah dia menyempati rakaat imam.
Jika dia tidak sempat melakukan rukuk dan thuma’ninah bersama imam maka dia tidak dikira menyempati rakaat imam dan hendaklah dia berdiri selepas imam memberi salam untuk mengganti rakaat yang tidak dikira itu.
Imam melakukan sujud sedang makmum baru memulakan sembahyang.
Dalam hal ini, makmum hendaklah mengangkat takbiratulihram tanpa membaca surah al-Fatihah. Kemudian bertakbir sekali lagi untuk melakukan sujud bersama imam. Oleh kerana makmum tersebut tidak dikira menyempati rakaat imam maka hendaklah dia berdiri selepas imam memberi salam untuk mengganti rakaat yang tidak dikira itu.
Demikianlah beberapa persoalan mengenai kewajipan makmum membaca surah al-Fatihah.
Perkara ini amat penting diketahui supaya tidak berlaku kesalahan dalam ibadat sembahyang yang kadang-kadang dianggap selama ini betul tetapi salah dan boleh menyebabkan sembahyang tidak sah atau menjadi batal.