Wednesday, February 5, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hukuman mati pertama sejak 2009

    BANGKOK, 19 Jun – Menurut kenyataan kerajaan Thailand, negara itu telah melaksanakan hukuman mati pertamanya sejak tahun 2009, membabitkan seorang tahanan yang berusia 26 tahun dalam satu langkah yang disifatkan Amnesty Antarabangsa sebagai ‘tidak boleh diterima sama sekali’.

    Theerasak Longji telah menjalani hukuman suntikan maut, enam tahun selepas disabitkan bersalah.

    Kematiannya berlaku ketika ketua rampasan kuasa Thailand, Prayut Chan-O-Cha sedang bersiap sedia untuk pergi ke United Kingdom dan Perancis bagi lawatan rasminya.

    “Kami masih memiliki hukuman mati, ia masih belum dibatalkan,” kata timbalan setiausaha tetap di Kementerian Kehakiman, Tawatchai Thaikaew memberitahu AFP sambil menambah, hukuman berkenaan dilaksanakan ‘mengikut undang-undang’ yang ditetapkan.

    Jabatan Pemulihan Thailand yang dilihat sebagai antara penjara terbesar dunia berkata, 325 pesalah telah dijatuhkan hukuman mati sejak 1935, sebilangan besar oleh skuad penembak.

    Kaedah itu bagaimanapun dihentikan pada 11 Disember 2003 dan sejak itu hingga 2009, enam lagi pesalah dijatuhkan hukuman mati menggunakan suntikan maut.

    Pelaksanaan hukuman mati yang dilakukan kelmarin itu berfungsi sebagai ‘pelajaran untuk menghalang mereka yang ingin melakukan jenayah serius’ kata jabatan tersebut dalam satu kenyataan.

    Namun, kumpulan hak asasi manusia menyelar kemunculan semula hukuman berkenaan yang lazimnya dijatuhkan untuk kesalahan jenayah berat dan serius.

    “Ini adalah pelanggaran yang mengerikan hak asasi kemanusiaan,” kata Amnesty Kebangsaan sambil menuduh kerajaan menolak untuk membuat sebarang komitmen ke arah penghapusan hukuman mati.

    Theerasak menikam mangsanya 24 kali sebelum mencuri telefon bimbit dan dompet mereka, kata jabatan itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda