Wednesday, April 30, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Ia hanya separuh masa’ – Raya yakin kebangkitan Arsenal

    LONDON, 30  APRIL – Penjaga gol, David Raya tegaskan Arsenal masih boleh mara ke final Liga Juara-Juara walaupun tewas 1-0 pada aksi separuh akhir pertama menentang Paris Saint-Germain awal pagi tadi.

    Skuad kendalian Mikel Arteta akan menuju ke Paris menuntut bela selepas Ousmane Dembele meraih kemenangan awal PSG pada minit keempat di Stadium Emirates.

    Tetapi penguasaan separuh masa pertama PSG gagal menghasilkan lebih banyak gol, manakala Goncalo Ramos dan Bradley Barcola mensia-siakan dua peluang lewat untuk menambah kelebihan mereka.

    Juara Perancis itu juga memerlukan Gianluigi Donnarumma untuk mengekalkan pendahuluan mereka dengan menafikan percubaan daripada Gabriel Martinelli dan Leandro Trossard.

    Penjaga gol Arsenal Raya melihat ke hadapan untuk perlawanan kedua mereka di Parc des Princes pada 7 Mei.

    “Mereka bermula pantas dengan satu gol dan mereka menguasai 15 atau 20 minit pertama tetapi selepas itu kami menguasai sebahagian besar permainan, mencipta peluang. Donnarumma berjaya menepis beberapa percubaan yang baik,” kata Raya.

    “Ia hanya separuh masa, kami mengambil yang positif. Mereka adalah pasukan terbaik tetapi penghargaan kepada pemain atas usaha mereka. Kami (masih) boleh memenangi perlawanan.

    “Kami tahu mereka banyak mengekalkan penguasaan bola dan bagus dalam hal itu. Mereka mempunyai banyak peluang itu dan berjaya membuat (satu) jaringan. Kami juga mempunyai peluang tetapi kami tidak berjaya.”

    Arsenal gagal menjaringkan gol dalam perlawanan Liga Juara-Juara di tempat sendiri buat kali pertama sejak kekalahan 2-0 kepada Barcelona pada pusingan 16 terakhir pada 2016.

    Ia juga kekalahan pertama mereka di Emirates dalam 18 perlawanan Eropah.

    Raya yakin bahawa Arsenal, yang telah menumpaskan juara bertahan Real Madrid pada suku akhir, masih boleh megubah kedudukan.

    “Kami menunjukkan dari minit ke-25 separuh masa pertama bahawa kami boleh menang menentang mana-mana pasukan. Kami telah menunjukkan pada musim ini kami juga boleh memenangi perlawanan di tempat lawan, jadi kami akan pergi ke Paris minggu depan untuk cuba menang,” katanya.

    “Kami perlu hadapi permainan dengan cara yang sama. Kami telah bermain dengan baik, kami berjaya mengasak dan mencabar mereka. Mari kita pergi (berlawan lagi) ke Paris minggu depan.” – AFP

    David Raya (kanan) dalam persediaan menjaga gawang semasa perlawanan bola sepak menentang Paris Saint-Germain di Stadium Arsenal, London, England, awal pagi tadi. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda