Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ibadah korban giat dilaksana

    Oleh Salawati Haji Yahya, Yusrin Junaidi, Daniel Lim –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JUN – Umat Islam di Negara Brunei Darussalam tidak melepaskan peluang meraih ganjaran pahala yang dijanjikan dalam bulan Zulhijah dengan melaksanakan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini.

    Masjid Az-Zakireen, Meragang, adalah antara yang mengendalikan majlis korban di mana enam ekor kerbau telah dikorbankan dan dagingnya diagihkan kepada 35 buah keluarga asnaf fakir miskin dan masyarakat setempat.

    Pengerusi Jawatankuasa Takmir Masjid Az-Zakireen, Haji Shahbirin bin Haji Mohd Noor, melahirkan rasa penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis tersebut.

    “Alhamdulillah, dengan kerjasama semua pihak, majlis ini berjalan dengan lancar dan membantu meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan dalam masyarakat kita,” katanya.

    Majlis yang dikendalikan oleh Majlis Perundingan Kampung (MPK) Belimbing pula telah menyaksikan enam ekor kerbau dikorbankan dan diagihkan kepada 31 orang penerima terdiri daripada lapan orang anak yatim dan 23 asnaf di kampung berkenaan.

    Salah seorang penerima agihan daging korban semasa majlis di Masjid Az-Zakireen. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Majlis korban yang dianjurkan oleh Persatuan Afiah. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Penghulu Mukim Mentiri dan Ketua Kampung kawasan 2 semasa menyampaikan agihan daging korban kepada salah seorang penerima. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Yang Berhormat Haji Daud bersama tetamu khas yang lain pada Majlis Ibadah Korban dan Akikah MPK Belimbing. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Salah seorang penerima agihan daging korban semasa majlis di Kampung Sungai Teraban. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Ibadah korban yang diadakan di kawasan sekitar BSRC. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    Majlis pengagihan kepada peserta ibadah korban telah diadakan di Gerai Muafakat Tasik Sarubing dan disempurnakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Ketua Kampung Belimbing, Yang Berhormat Haji Daud bin Jihan selaku tetamu kehormat majlis dan penduduk kampung berkenaan.

    Manakala pengagihan daging-daging korban kepada golongan asnaf dan anak-anak yatim sempena Hari Raya Aidiladha kampung berkenaan telah dihantar ke rumah-rumah penerima.

    Seramai 73 orang asnaf dan fakir miskin berserta jiran setempat di Kampung Rimba pula menerima pengagihan daging korban dalam majlis yang dianjurkan oleh Persatuan Afiah dan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Sekolah Alif, Rimba, kelmarin.

    Majlis yang berlangsung di sekolah berkenaan dihadiri oleh Yang Dipertua Persatuan Afiah, Haji Abdul Rahman bin Haji Nawi dan Guru Besar Sekolah Alif, Dayang Nuratikah Hani binti Haji Tarip.

    Pada tahun ini, persatuan berkenaan telah mengorbankan tujuh ekor kerbau.

    Sementara itu, seramai 62 orang telah menerima agihan daging korban pada majlis anjuran MPK Kawasan 2 RPN Kampung Panchor, Mentiri, kelmarin.

    Pengagihan daging korban telah disempurnakan oleh Penghulu Mukim Mentiri dan Ketua Kampung Kawasan 2, Haji Awang Mohd Eddie Hardey bin Haji Awang Ibrahim.

    Seekor kerbau telah dikorbankan dalam majlis yang julung kalinya diadakan di kediaman Haji Awang Mohd Eddie Hardey berkenaan.

    Turut hadir pada majlis tersebut ialah ahli-ahli MPK Kawasan 2 RPN Panchor dan peserta ibadah korban sunat pada tahun ini.

    Manakala itu, di Daerah Belait, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sungai Teraban pula telah mengadakan Majlis Pengagihan Daging Korban di balai raya kampung berkenaan dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Teraban (KST) dan disokong oleh Persatuan SUTERA dan Koperasi KST.

    Tiga ekor lembu dan seekor kerbau telah dikorbankan bagi majlis berkenaan dan dagingnya diagihkan kepada 30 orang penduduk kurang bernasib baik yang tinggal di kawasan sekitar kampung itu.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan pengagihan daging korban ialah Pengurus Koperasi Stesen Minyak KST, Haji Nordin bin Awang Besar dengan diiringi oleh Pemangku Ketua KST, Awang Zaini bin Haji Kaderi.

    Dalam pada itu, majlis serupa turut diadakan di kawasan sekitar Kelab Rekreasi Brunei Shell (BSRC) yang diketuai Kumpulan Syarikat Serikandi.

    Hadir menyaksikan majlis berkenaan ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad yang dialu-alukan oleh pengerusi dan Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Serikandi, Shaikh Khalid bin Shaikh Haji Ahmad.

    Majlis itu juga diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-50 Kumpulan Syarikat Serikandi.

    Secara keseluruhan, dua ekor lembu telah dikorbankan pada majlis itu, dengan 500 bahagian telah diagihkan kepada tetamu dan kakitangan kumpulan berkenaan.

    Majlis serupa juga telah diadakan di sebuah rumah di Kampung Lumut yang dikendalikan oleh sebuah keluarga besar.

    Sebagai ketua isi rumah dalam mengetuai majlis itu, Haji Ismail bin Haji Mohd Salleh berkata, beliau dan keluarga besarnya telah menjalankan ibadah korban setiap tahun selama 22 tahun.

    Pada tahun ini, beliau dan keluarganya telah mengorbankan dua ekor kerbau yang dipotong dan dibahagikan oleh ahli keluarga mereka.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda