Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya (CSR), Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) telah menyumbangkan sebanyak 26 aset teknologi maklumat (IT) yang digunakan semula terdiri daripada 13 server dan 13 peranti rangkaian kepada Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Jefri Bolkiah pada majlis penyerahan yang berlangsung di Kampus IBTE Jefri Bolkiah, Kuala Belait, baru-baru ini.
Pada majlis penyerahan itu, BDCB diwakili oleh Penolong Pengarah Urusan, Perkembangan Korporat, Hajah Sufinah binti Haji Sahar serta beberapa pegawai kanan dan ahli Jawatankuasa Tanggungjawab Sosial Korporat BDCB.
Menurut kenyataan BDCB, hari ini, aset-aset berkenaan telah diubahsuai supaya kekal dalam keadaan yang amat baik dan berfungsi sepenuhnya untuk menyokong keperluan sumber mesin maya.
Dengan penyerahan aset-aset yang diberikan nafas baharu itu, BDCB tidak hanya menyokong kelestarian tetapi juga bertujuan untuk mengembang luaskan lagi peluang pembelajaran pelajar-pelajar kampus berkenaan.
Inisiatif berkenaan juga mencerminkan komitmen BDCB terhadap pembangunan komuniti, memupuk kemajuan pendidikan dan menyokong perkembangan kepakaran untuk memperkasakan tenaga kerja masa hadapan negara.