REYKJAVIK, 12 JAN – Iceland kelmarin mengumumkan bahawa negara itu sedang memantau dengan teliti gunung berapinya yang paling aktif selepas tasik glasiernya pecah, satu kejadian yang boleh mencetuskan letusan.
Gunung berapi Grimsvotn, yang terletak di kawasan terpencil dan tidak berpenghuni di tengah Iceland, terletak di bawah glasier Vatnajokull, yang merupakan yang terbesar di Eropah.
Pihak berkuasa telah menaikkan tahap amaran untuk Grimsvotn kepada ‘kuning’ – kod warna yang digunakan untuk memberikan amaran kepada industri penerbangan tentang risiko letusan.
Amaran merah bermakna letusan dianggap akan berlaku.
Pejabat Meteorologi Iceland (IMO) berkata di laman webnya bahawa aliran glasier yang bergelora telah terbentuk berhampiran gunung berapi tersebut.
Letusan terakhir Grimsvotn pada 2011 menghantar kepulan abu ke atmosfera yang menyebabkan gangguan trafik udara yang agak kecil, dengan kira-kira 900 penerbangan dibatalkan.
Aliran glasier menyebabkan letusan lain pada tahun 1922, 1934 dan 2004.
Aktiviti seismik Grimsvotn dalam beberapa bulan kebelakangan ini adalah lebih tinggi daripada biasa, menurut kenyataan IMO.
Letusan gunung berapi terakhir di Iceland, kurang sebulan lalu di selatan ibu kota Reykjavik, menyaksikan bandar kecil Grindavik, yang menempatkan 4,000 penduduk, dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga. – AFP